Kaukus pembiayaan politik harap dapat bertemu Wan Junaidi
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Mengenai Pendanaan Politik berharap dapat bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak lama lagi.
Kumpulan itu berkata mereka mahu bertemu Junaidi untuk berkongsi usaha yang sedang dilakukan mengenai perundangan pendanaan politik dan mendapatkan sokongan bagi membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan.
Menurutnya, mereka telah bermesyuarat untuk kali kedua di parlimen semalam yang turut dihadiri wakil organisasi masyarakat sivil.
"Ahli KRPPM juga telah menyetujui beberapa prinsip utama pendanaan politik seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban, larangan terhadap pendanaan asing, mengehadkan jumlah sumbangan yang boleh dilakukan oleh individu dan syarikat serta melarang sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain yang mempunyai konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan.
Anggota APPGM terdiri daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Fahmi Fadzil (Harapan-Lembah Pantai), Wong Shu Qi (Harapan-Kluang), Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda- Muar) dan Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun).
Sama seperti kaukus parlimen, APPGM tidak diiktiraf secara rasmi oleh parlimen dan merupakan kumpulan ahli parlimen yang mempunyai kepentingan yang sama dan kebiasaannya merupakan bi-partisan.
Ahmad Fadhli, merupakan satu-satunya ahli parlimen kerajaan dalam APPGM ini, yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS.
Undang-undang pendanaan politik merupakan antara janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018 tetapi ia tidak dilaksanakan dalam tempoh 22 bulan pentadbirannya.
Pendanaan politik juga bukan sebahagian daripada perjanjian Keyakinan dan Pembekalan - antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

