PAS, PKR anjur perhimpunan bantah SPR di Raub malam ini
PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perhimpunan membantah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Raub malam ini bagi mendesak suruhanjaya itu melakukan perubahan sewajarnya dalam menjamin pilihanraya yang bersihdan adil.
PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perhimpunan membantah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Raub malam ini bagi mendesak suruhanjaya itu melakukan perubahan sewajarnya dalam menjamin pilihanraya yang bersihdan adil.
Menurut satu kenyataan biro penerangan PKR, perhimpunan tersebut akan diadakan di Kampung Durian Sebatang, Raub jam 9 malam, sebagai ekoran kepada pengumuman Barisan Alternatif (BA) memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Para pemidato di perhimpunan tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan wakil Bersih dan pertubuhan bukan kerajaan.
Sementara itu, Nasharuddin menafikan yang parti itu secara sulit menyokong seorang calon bebas untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari depan.
Sebaliknya, kata beliau, PAS dan rakannya dalam BA PKR tetap memboikot pilihanraya kecil itu untuk memberi tekanan supaya dilaksanakan pembaharuan dalam proses pilihanraya.
"Terdapat dakwaan yang mengatakan PAS telah membeli satu salinan borang pencalonan. Biar saya jelas bahawa semua ini adalah mainan media.
"Kita akan tetap dengan keputusan memboikotnya...jadi BA tidak akan meletakkan sebarang calon," katanya ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut.
Calon bebas
Penamaan bagi pilihanraya kecil Batu Talam akan diadakan esok. Kerusi itu menjadi kosong berikutan kematian wakil rakyat dari BN, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu.
Dalam pilihanraya tahun 2004, Tengku Paris menewaskan calon PAS, Mohamed Nilam Abdul Manap dengan majoriti 2,761 undi. Terdapat 10,866 pemilih berdaftar ketika itu.
Kali ini, jumlah terbaru pemilih berdaftar di Batu Talam merosot sedikit kepada 10,525 orang, termasuk 14 undi pos.
Menurut laporan media hari ini, tujuh borang pencalonan telah dibeli semalam. Antara pembelinya ialah seorang anggota DAP dan seorang lagi lelaki berbangsa India.
Ini telah mencetuskan spekulasi mengenai pihak tertentu menaja calon bebas untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Spekulasi tersebut bukan sahaja menyebut calon bebas itu bakal ditaja oleh pembangkang, tetapi juga kemungkinan Umno turut meletakkan calon bebas supaya pilihanraya itu dapat diadakan.

