Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM tubuh pasukan khas tambah baik budaya kerja perkhidmatan kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan penubuhan satu badan bebas yang dinamakan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Pasukan itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Profesor Dr Siti Hamisah Tapsir (gambar atas) dan dianggotai lapan individu profesional serta pakar dalam bidang masing-masing.

HWCITF ditubuhkan susulan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan memaklumkan skop dan terma HWCITF merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkualiti dan profesional.

Beliau berkata HWCITF berperanan menganalisis serta menilai budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan secara umum dan PPS secara khusus.

Khairy berkata ia juga akan menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS terbabit yang dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata HWCITF akan turut mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi menyokong fungsi dan peranan pasukan petugas itu jika perlu serta menjalankan kaji selidik dan analisis yang berkaitan.

“HWCITF juga akan menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan secara umum dan PPS secara khusus untuk dibentangkan kepada saya dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan,” katanya.

HWCITF dianggotai Hamidah Naziadin yang berpengalaman luas dalam bidang sumber manusia selama 31 tahun, pakar pediatrik Profesor Dr Zabidi AM Hussin, pakar perunding psikiatri Profesor Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif International Medical University (IMU) Dr Chong Su Lin.

Ia turut dianggotai Mohamed Redza Mohamed Abdulla (peguam), Manvir Victor (aktivis dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia), B. Sivaramakrishnan (pakar dalam reka bentuk organisasi dan kerja) serta wakil Jabatan Perkhidmatan Awam.

"KKM komited memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya. Suasana kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS