Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Sumber dakwa EGM Umno esok tidak sah, Khaled Nordin kata tiada isu

Keputusan Umno meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) dalam perhimpunan agung khas (EGM) esok meragukan, dakwa satu sumber parti.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin menafikan dakwaan bahawa EGM itu sebagai tidak sah.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber itu yang merupakan pemimpin kanan Umno memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Ogos 2021 sebagai asas kepada keraguannya.

"Dalam kenyataan pada 10 Ogos 2021 Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim berkata bahawa kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung Umno 2021.

"Sementara dalam kenyataan berasingan bertarikh 30 Ogos, RoS memberitahu bahawa pemilihan parti itu mesti diadakan sebelum 29 Disember 2022.

"Maka kenyataan-kenyataan ini membuatkan kita meragui keputusan pucuk pimpinan Umno meminda perlembagaan parti," kata sumber itu yang tidak mahu mendedahkan namanya.

Tambahnya, ROS dalam kenyataan 30 Ogos 2021 hanya memutuskan penangguhan pemilihan Umno untuk penggal 2021/2023 sebagai sah.

"RoS tidak membatalkan keputusan awal yang lain seperti MT Umno ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker.

"Jadi, ini menimbulkan soalan apakah EGM esok sah dari segi perlembagaan parti.

"MT tidak ada kuasa untuk membuat sebarang keputusan dasar. Dan keputusan RoS pemilihan parti itu mesti diadakan sebelum 29 Disember 2022 masih kekal," kata sumber itu lagi.

Untuk rekod, kepimpinan caretaker bermakna MT yang diketuai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.’

Tak ada isu, kata Khaled

Namun, Khaled ketika dihubungi menafikan segala dakwaan berhubung EGM esok.

"Itu surat (ROS) tahun lepas. Jika kepimpinan MT Umno hanya boleh berfungsi sebagai caretaker mengapa PAU (Perhimpunan Agung Tahunan) Mac 2022, iaitu melepasi tarikh 30 Jun 2021 tak pula dipertikaikan.

"Tidak ada isu pertikaikan EGM esok," katanya.

Sementara itu, Zahid Hamidi berkata EGM esok adalah selaras dengan kehendak ditetapkan ROS.

"Perhimpunan khas esok adalah selaras dengan kehendak ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Pindaan yang akan dilakukan esok adalah untuk meminda ‘klausa’ yang termaktub dalam Perlembagaan Umno.

"Klausa 10.16 Perlembagaan Umno yang ada mengatakan parti itu dibenarkan untuk memanjangkan tempoh khidmat pemegang jawatan 18 bulan selepas tamat tempoh ‘atau’ selepas masa enam bulan PRU," tulis Zahid dalam Facebook.

Usul pindaan agar pemilihan Umno diadakan selepas PRU akan dibuat di hadapan 2,666 perwakilan yang dijangka hadir esok.

Untuk rekod pada 2009 Umno melakukan tujuh pindaan terhadap perlembagaan parti itu pada EGM yang diadakan bulan Okt.

Lihat Komen