Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR lancar di Johor, 'perang mulut' di Kedah

Meskipun terdapat sedikit 'perang mulut' antara ahli parti PKR di beberapa cabang di Kedah namun proses pengundian Pemilihan PKR 2022 yang memasuki hari kedua hari ini berjalan lancar dan sudah selesai.

Pemilihan bagi jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap parti yang diadakan di Kedah dan Johor itu bermula 9 pagi dan selesai tepat 5 petang tadi.

Di KEDAH, Koordinator Negeri Kedah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Rashid Din berkata pengundian melibatkan 15 cabang iaitu Sungai Petani, Padang Serai, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sik, Jerai, Baling, Kubang Pasu, Alor Setar, Langkawi, Padang Terap, Kuala Kedah, Pokok Sena, Pendang dan Jerlun.

“Proses pemilihan yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu berjalan lancar walaupun berlaku sedikit ‘perang mulut’ di beberapa cabang berikutan ketidakpuasan hati antaranya melibatkan kedudukan khemah untuk menarik pengundi sebelum mereka masuk membuang undi.

“Bagaimanapun, tiada pergaduhan fizikal yang berlaku. Timbul juga beberapa masalah teknikal di beberapa cabang sehingga menyebabkan proses mengundi mengalami sedikit kelewatan namun ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pemilihan di 14 cabang berjalan lancar kecuali Padang Serai yang ditangguhkan pada kira-kira 12 tengah hari berikutan wujud ketidakpuasan hati dengan beberapa perkara.

Di JOHOR, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata proses pengundian di negeri itu berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

Beliau berkata seramai 57,162 ahli layak mengundi secara fizikal di kesemua 26 cabang iaitu Tebrau, Kulai, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Ledang, Sekijang, Simpang Renggam, Segamat, Johor Bahru, Pasir Gudang, Muar, Pulai, Pagoh, Labis, Pontian, Parit Sulong, Kluang, Sembrong, Bakri, Sri Gading, Kota Tinggi, Pengerang, Ayer Hitam, Tenggara, Mersing dan Tanjong Piai.

Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa pula memaklumkan jawatankuasa itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan bagi lima cabang di Kelantan iaitu Tumpat, Bachok, Pengkalan Chepa, Ketereh dan Gua Musang ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Beliau berkata penangguhan itu dibuat selepas meneliti penjelasan dan laporan dari lapangan di pusat pengundian di Kelantan serta pasukan teknikal yang bertanggungjawab berkaitan sistem pemilihan.

Pengundian bagi Pemilihan PKR 2022, yang bermula semalam di Kelantan dan Terengganu, akan diteruskan esok bagi Pahang dan Wilayah Persekutuan diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka serta Negeri Sembilan pada 16 Mei.

Pengundian di Selangor akan berlangsung pada 21 Mei manakala ahli parti di Perak, Sabah dan Sarawak pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 22 Mei sementara pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara akan diadakan 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya dari 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi ADIL.

- Bernama

Lihat Komen