Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Spekulasi pindah aset ECRL kepada China tak berasas - Wee

Spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah di sepanjang jajaran Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada negara China adalah tidak berasas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi, beliau berkata hal itu kerana aset ECRL adalah milik kerajaan sepenuhnya melalui Malaysia Rail Link (MRL) manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama.

“Aset ECRL adalah 100 peratus milik kerajaan Malaysia melalui MRL dan tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

"Pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada bank milik kerajaan China juga tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah di sepanjang jajaran ECRL,” katanya.

Beliau berkata sebarang kerugian operasi akan ditanggung bersama 50:50 dan ini membuktikan keyakinan pihak dari China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti serta kelestarian perkhidmatannya.

MRL sebagai anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan CCCC bagi menubuhkan syarikat usaha sama dan melalui MOU itu, 80 peratus daripada keuntungan operasi akan dimiliki MRL manakala bakinya milik CCCC.

Pada masa sama, Wee berkata kadar tambang ECRL bakal ditentukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat yang akan setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada.

Beliau turut memaklumkan unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL telah dikaji oleh pihak perunding bertauliah yang memiliki kepakaran untuk mengumpul data dan menjalankan kajian.

“Melalui pengumpulan data dan kajian pihak perunding, ECRL mampu menjana trafik penumpang dan kargo yang tinggi memandangkan jajaran ECRL yang melalui kawasan industri berat dan hab pembuatan yang dihubungkan dengan pelabuhan utama negara.

“Perkhidmatan penumpang menunjukkan permintaan yang tinggi memandangkan jajaran yang melalui bandar utama di Pantai Timur. Maka itu ECRL dapat menyediakan pilihan pengangkutan di samping kos yang berpatutan kepada penduduk di Pantai Timur,” katanya.

Beliau juga berkata landasan single-track ECRL adalah memadai untuk unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL dalam 10 tahun pertama operasinya serta pembinaan sembilan passing loop di sepanjang jajaran membolehkan pengendalian tren dua hala antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

Wee berkata MRL turut merangka dan melaksanakan pelan jangka panjang untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos operasi syarikat serta keuntungan daripada operasi tren serta perniagaan sampingan MRL bakal digunakan untuk membayar semula sebahagian daripada tanggungan pinjaman projek ECRL.

“Manfaat yang mampu dijana oleh projek ECRL melalui value-capture keseluruhan projek ini iaitu pembangunan ekonomi yang pesat di negeri Pantai Timur apabila kemudahan rel disediakan dan kos pengangkutan kargo dari dan ke Pantai Timur menurun sebanyak 40 hingga 50 peratus.

“Ini akan meningkatkan daya saing negeri Pantai Timur dan mewujudkan lebih banyak industri baharu yang dijangka menjana pendapatan melalui cukai kepada kerajaan seterusnya dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

ECRL, yang djadualkan siap pada Disember 2026, melibatkan jarak 665 kilometer merentasi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS