Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail mempertahankan kenyataannya bahawa abang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Azman Hasan telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri terutama dalam pembahagian kontrak.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lenggeng berkata, pegawai kerajaan sendiri yang mengadu perkara itu kepadanya.

"Menurut mereka, Datuk Azman sendiri akan menelefon pegawai kerajaan supaya memberikan projek kepada kontraktor-kontraktor pilihannya.

"Dia menggunakan kedudukan sebagai abang Menteri Besar untuk mengarahkan pegawai kerajaan supaya memberikan projek kepada kontraktor pilihannya," kata Ishak ketika dihubungi hari ini.

Oleh kerana perkara itu sudah menjadi perbualan di Negeri Sembilan, Ishak berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Hassan tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Sebaliknya, katanya, Azman yang mengetahui perkara itu, telah bertindak memarahi beliau.

"Datuk Azman bertindak keterlaluan seolah-olah beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sedangkan jawatannya hanya Setiausaha Umno negeri," katanya lagi.

Tindakan tatatertib

Ishak berkata, adalah menjadi kewajiban dan tanggungjawab beliau untuk membetulkan kesilapan kerajaan negeri seperti yang dilakukannya semasa pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad.

Katanya, pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak berani mengadu kepada Menteri Besar kerana bimbang dikenakan tindak tatatertib.

"Sebab itu mereka datang mengadu kepada saya dan saya terpaksa membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar untuk tindakan lanjut.

"Jika saya tidak berani, buat apa saya menjadi Ketua Umno Bahagian Seremban dan Adun Lenggeng," katanya lagi.

Ishak berkata, beliau telah menjadi Ketua Umno Bahagian Seremban selama 18 tahun dan Adun Lenggeng sejak 14 tahun lalu.

Katanya, beliau juga telah membangkitkan perkara itu sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

Dalam jawapannya, kata Ishak, Menteri Besar berkata, beliau akan 'melihat (perkara itu) terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Bangkitkan di DUN

Ishak berkata, kritikan kerasnya bukan bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar sebaliknya mahu memperbetulkan keadaan akibat campurtangan keterlaluan adiknya, Azman.

Sementara itu, Ishak menafikan beliau terbabit dengan tindakan pihak tertentu yang menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar Seremban, menuduh Azman mengganggu urusan kerajaan negeri.

Ketika diminta mengulas perkara itu, beliau berkata, "Saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Saya rasa ada orang ambil kesempatan dalam situasi yang sedang berlaku.

"Ia mungkin dilakukan oleh musuh politik Menteri Besar atau diupah oleh pihak tertentu yang bertujuan untuk memburuk-burukkan saya," katanya.

Ishak juga mendakwa ada pihak yang telah berusaha sejak 14 yang lalu untuk menjatuhkan beliau dari jawatan ketua Umno bahagian Seremban, dengan mencalonkan seorang exco kerajaan untuk mencabarnya bagi jawatan tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa abangnya mencampuri urusan kerajaan negeri supaya membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).