Kerajaan tidak sepatutnya mengambil tindakan pukul rata terhadap penggunaan kenderaan ringan mikrobiliti jika ingin menjayakan agenda pengakutan awam, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Jelas Najib, kerajaan tidak boleh menghalang penggunaan kenderaan mikrobiliti bagi memudahkan pergerakan orang ramai di dalam bandar.

Katanya, kerajaan sepatutnya meletakkan syarat berhubung ciri keselamatan terhadap setiap jenis kenderaan mikrobiliti yang ingin dijual.

"Sekiranya berhasrat untuk menjayakan pengangkutan awam yang menerima pelaburan begitu besar bagi mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar maka kerajaan tidak patut pukul sama rata dengan menghalang penggunaan mikromobiliti.

"Bagi memudahkan penggunaan mikromobiliti, kerajaan boleh meletakkan syarat bahawa setiap model mikromobiliti yang ingin dijual di Malaysia perlu diluluskan ciri keselamatannya dan dikategorikan mengikut lima cara pengangkutan yang saya sebut tadi.

"Jenis mikromobiliti kecil yang perlahan dan tidak berbeza banyak dengan berjalan kaki dibenarkan untuk digunakan di laluan pejalan kaki," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pembekal kenderaan ringan jenis mikromobiliti membantah keputusan kerajaan untuk mengharamkan penggunaannya di negara ini.

Pemain industri berkenaan yang ditemui Malaysiakini berkata, mereka berdepan dengan risiko gulung tikar jika kerajaan terus mengharamkannya, selain ribuan yang lain dalam industri itu akan hilang pekerjaan.


Baca berkaitan: 'Ribuan hilang kerja jika industri kenderaan mikromobiliti ditutup'


Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah menetapkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti merangkumi tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa 23 April lalu.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan, tiga kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan raya.

Dalam pada itu Najib berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti mampu memainkan peranan yang sangat penting bagi menjayakan lagi hubungan "first mile" dan "last mile".

"Hubungan 'first mile' dan 'last mile' yang optimum, berkesan dan cekap untuk pengguna adalah sangat penting bagi kejayaan pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorail KTM komuter dan MRT.

"Kita ada lima cara yang dibenarkan untuk bergerak dalam bandar - berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal, kereta dan bas.

"Sebab itu, pandangan saya ialah kerajaan hari ini patut memudahkan dan menggalakan penggunaan kenderaan mikromobiliti, bukan menghalangnya," katanya