Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya Melayu': Mahathir ancam saman Zahid
Diterbitkan:  May 17, 2022 12:43 PM
Dikemaskini: 5:15 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad jarang mengugut hendak menyaman seseorang. 

Bagaimanapun kali ini berbeza sama sekali.

Mahathir hari ini mengancam hendak menyaman presiden Umno Zahid Hamidi kerana mempertikaikan status kaumnya sebagai orang Melayu.

“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya sambil menyifatkannya kenyataan Zahid sebagai “memualkan”.

Mengaku mempunyai darah India, Mahathir menegaskan namanya dalam kad pengenalan menggunakan bin, bukan anak lelaki.

“Mengikut takrifan perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam. 

“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya.

Zahid pada Julai 2017, ketika menjadi menteri dalam negeri, menunjukkan gambar didakwa salinan kad pengenalan Mahathir, yang menurutnya memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

A/L adalah singkatan kepada “anak lelaki” yang biasa diguna pakai sesetengah kaum, termasuk India. Kutty ialah nama dalam bahasa Tamil.

Nama Melayu menggunakan gelaran 'bin' atau 'binti', istilah Arab yang merujuk kepada anak lelaki atau anak perempuan.

Menyifatkan Zahid sebagai seorang pembohong tegar, ahli parlimen Langkawi itu erkata, tujuan Zahid berhubung kenyataan kad pengenalannya itu sewaktu kempen pilihan raya umum ke-14 hanya untuk memburukkan dirinya.

Zahid juga, kata Mahathir, menggambarkan seolah-olah dia menipu mengenai status bangsanya. 

“Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja. 

“Ia bukan saja kerana ia merosakkan reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya. 

Lihat Komen
ADS