Parti Muda Pulau Pinang menggesa pemansuhan jenayah bunuh diri disegerakan.

Ini susulan insiden terbaru seorang lelaki terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

"Hal ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan yang meruncingkan berhubung dengan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan membunuh diri di Malaysia.

"Rang undang-undang telah sampai ke kabinet tetapi masih tiada perbincangan dalam membentangkan pemansuhan," kata

Pengerusi Muda Pulau Pinang Jazz Tan Yee Mei.

Tan menyorot bahawa terdapat 19 kes cubaan membunuh diri dan 53 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang di antara Januari hingga Mei tahun lalu.

Menurutnya, terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

Tan turut menggesa agar papan tanda oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang memberi peringatan bahawa cubaan bunuh diri merupakan jenayah, diganti dengan paparan talian hotline berkaitan kesihatan mental.

"Kerajaan juga telah memperuntukkan RM70 juta di bawah bajet 2022 untuk membangunkan sistem sokongan kesihatan mental yang mantap.

"Muda Pulau Pinang dengan ini mendesak penjelasan tentang cara belanjawan itu telah dibelanjakan dan hasil perbelanjaan tersebut," katanya lagi.

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilapor telah menghantar memorandum berkaitan moratorium jenayah bunuh diri ke kabinet November lalu.

Pada Okt 2021, Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa usaha sedang dilakukan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri selepas Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara bersetuju mengenainya.

Percubaan membunuh diri masih diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan isu itu diletakkan di bawah bidang kuasa polis dan bukannya Kementerian Kesihatan.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Gesaan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri telah dibuat sejak sekian lama.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyokong desakan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri.