Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia sedia bantu atasi masalah kekurangan kayu di AS, UK

Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan AS dan UK bagi menangani isu kekurangan kayu dan produk berasaskan bahan itu di negara-negara terbabit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata langkah itu boleh dibuat menerusi usaha mencari dan menambah nilai kepada produk kayu dari negara ketiga, terutamanya untuk produk yang disahkan di bawah PEFC (Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan).

Dalam kenyataan hari ini, dia berkata sekatan ke atas produk kayu Rusia memaksa pengimport AS untuk mencari sumber alternatif, terutamanya bagi papan lapis.

“Sentimen semasa pasaran terhadap kayu Malaysia di AS adalah positif, terutamanya bagi meranti dan keruing yang menyaksikan permintaan itu masing-masing meningkat sebanyak sembilan peratus dan 467 peratus,” katanya.

Zuraida berkata industri perkayuan Malaysia juga terus mencatat prestasi baik biarpun menghadapi kesan buruk ekonomi akibat Covid-19 dengan eksportnya meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada RM22.7 bilion pada 2021 berbanding RM22.02 bilion pada tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, eksport produk kayu dari Malaysia kini agak perlahan kerana kekurangan balak dari hutan semula jadi dan menyebabkan kilang papan sukar memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Pengeksport juga perlu berdepan kekangan seperti kesesakan di pelabuhan akibat kekurangan kontena, ruang dalam kapal dan isu logistik lain. Namun begitu, transshipment (transit dagangan) telah dikenal pasti sebagai salah satu solusi untuk jangka masa sederhana,” katanya.

Menurut Zuraida lagi, Persatuan Produk Kayu Antarabangsa (IWPA) yang berpangkalan di AS berkongsi hasrat untuk berbincang dengan ketua-ketua industri kayu-kayan Malaysia mengenai kaedah bagi menangani isu sektor tersebut.

“Oleh kerana ini akan melibatkan langkah-langkah untuk melindungi Malaysia daripada menjadi sasaran persatuan kayu-kayan domestik dan pihak berkuasa AS atas isu pengelakan perdagangan, satu rangka kerjasama juga sedang dirangka oleh pegawai AS dan pihak berkuasa Malaysia seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Jabatan Kastam,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata Malaysia berhasrat mendapatkan pendirian UK mengenai cadangan ENVI (Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Keselamatan Makanan) membabitkan konsensus mengenai definisi penebangan hutan dan kemerosotan hutan.

Malah, katanya, di sebalik gangguan pasaran yang ketara dalam pasaran produk kayu, jumlah import UK meningkat sebanyak 15 peratus pada 2021. Ia merupakan kenaikan terbesar sejak 2008.

“Mulai 1 Januari lepas, terdapat perubahan dalam peraturan kastam UK sejajar dengan tindakan negara itu yang kini dalam proses keluar daripada rangka kerja Kastam Kesatuan Eropah dan Pasaran Tunggal.

“Walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada peraturan kastam UK yang dikemas kini, kita berharap kerajaan UK akan turut memperkemaskan lagi prosedur dan pengendalian dokumen untuk (menangani) masalah logistik semasa,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS