Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kecewa dengan peningkatan kes kanser paru-paru di Malaysia, yang sering dikenal pasti hanya ketika tahap tiga dan empat (akhir), dua doktor pakar bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran awam.

Mereka antara dua pengamal perubatan yang tampil menggesa orang ramai membuat saringan awal. 

Menurut pengasas bersama NGO Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) Dr Tho Lye Mun, kanser paru-paru adalah kanser yang kedua paling kerap berlaku di kalangan lelaki di negara ini selepas kanser kolon, dan yang ketiga melibatkan lelaki dan perempuan. 

“Salah satu mitos yang sering didengari dari orang ramai ialah berhenti membuat saringan dan berjumpa doktor (kerana) diagnosis terhadap kanser paru-paru akan berakhir dengan kematian dan tiada apa yang dapat dilakukan lagi. “(Malah) anda boleh mati dalam masa beberapa minggu,” kata Tho yang merupakan ketua pakar onkologi di Beacon Hospital di Petaling Jaya, Selangor.

Tho Lye Mun

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2020, Malaysia mencatatkan 4,509 kematian disebabkan kanser paru-paru–paling tinggi–diikuti kanser payudara (3,503), hati (2,050), kolon (2,035).

Seorang lagi pengasas bersama LCNM Dr Anand Sachithanandan, berkata tujuan saringan awal untuk mengenal pasti kanser paru-paru supaya rawatan awal dapat dilakukan.

Katanya, pesakit juga mampu menjalani kehidupan yang lebih berkualiti dengan pelbagai rawatan yang sangat efektif pada masa kini. 

“Kita ingin mengenal pasti lebih banyak kanser paru-paru di klangan rakyat Malaysia, lebih banyak kes pada tahap awal, iaitu pada tahap satu dan dua berbanding seperti hari ini (yang sering dikenal pasti sudah di) tahap tiga atau empat. 

“Mengapa? Kerana ia dapat dirawat dengan lebih efektif dengan gabungan rawatan dan mereka (pesakit) boleh hidup lebih lama dan akan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. 

“Ia juga dapat mengurangkan bebanan kewangan terhadap pesakit, keluarga dan masyarakat secara menyeluruh,” kata Anand yang merupakan pakar bedah kardiotoraks di Subang Jaya Medical Centre di Selangor. 

Anand Sachithanandan

Menyentuh mengenai kekangan kewangan dalam mendapatkan rawatan terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah, Tho berkata terdapat rawatan turut tersedia di hospital kerajaan dengan kos yang minimum. 

Kempen kesedaran LCNM akan diadakan pada Jun sehingga November dengan kerjasama tiga hospital–Beacon Hospital, Subang Jaya Medical Centre dan Sunway Medical Centre– bawah program tanggungjawab korporat sosial (CSR).

Dalam program ini, pesakit hanya perlu membayar 10 peratus untuk kos saringan low-dose computerized tomography (LDCT) dan khidmat konsultasi dari pakar.

Sebanyak 90 peratus kos tersebut ditanggung oleh LCNM.

Semakin ramai wanita dijangkiti 

Memandangkan merokok merupakan punca utama kepada peningkatan kes kanser paru-paru, Tho dan Anand berkata kempen tersebut menyasarkan kumpulan umur 45 hingga 75 tahun, yang merokok lebih 20 tahun. 

Antara kriteria lain merupakan bekas perokok, mereka yang mempunyai keturunan keluarga yang mempunyai sejarah kanser paru-paru, serta mereka yang terdedah kepada asap rokok (perokok pasif) atau bekerja di persekitaran membahayakan kesihatan pada jangka masa yang lama. 

“Terdapat juga fenomena semakin ramai wanita yang tidak merokok menghidap kanser (paru-paru). 

“Sebenarnya, 50 peratus daripada pesakit saya adalah bukan perokok,” kata Tho. 

Tho yang berpengalaman dalam perubatan lebih dari 30 tahun berkata, meskipun tidak dapat diketahui puncanya, dia berkata ia dapat dikaitkan dengan gaya hidup.

“Sekiranya kamu merokok satu pek rokok sehari selama 20 tahun, maka kamu tergolong dalam berisiko tinggi,” katanya yang tidak mengesyorkan saringan kepada mereka berusia 20-an atau 30-an. 

Menurut Anand yang berpengalaman sekitar 25 tahun berkata, saringan awal amat digalakkan kepada golongan berisiko tinggi kerana pada peringkat awal kebanyakan pesakit tidak menunjukkan simptom. 

Jelasnya, jika ada pun, ia sangat ringan seperti batuk-batuk kecil.

Tetapi katanya, bagi pesakit yang mempunyai simptom yang lebih serius seperti batuk berdarah atau kehilangan berat badan, kesukaran bernafas atau sakit dada, mereka selalunya berada di tahap yang lebih kritikal. 

“Sejujurnya, kami sangat kecewa dengan menyaksikan terlalu banyak kes kanser paru-paru dikesan amat lambat, pada tahap tiga dan empat, yang keputusannya yang agak tidak memberangsangkan. 

“Dan di Malaysia, hampir 95 peratus kes kanser paru-paru kini merupakan pada tahap tiga dan empat,” kata Anand menceritakan bagaimana LCNM tertubuh. 

“Kita perlu cuba meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini dan cuba merawatnya lebih awal. (Setakat ini) tiada apa yang benar-benar dilakukan untuk (mengurangkan kes) kanser paru-paru di Malaysia,” tambahnya. 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS