Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam, Abdul Aziz Kiram berjanji untuk berusaha menyelesaikan secepat mungkin masalah tertunggak penduduk di kawasan tersebut, antaranya pembinaan jambatan dan perkhidmatan telefon mudah alih di kawasan tersebut.

Di samping itu, katanya, beliau juga berjanji untuk berusaha menyelesaikan masalah geran tanah yang membabitkan penduduk beberapa kampung di kawasan tersebut.

"Masalah lain ialah penempatan generasi baru peneroka Felda Kersang 1,2 dan 2 seramai kira-kira 300 orang. Tetapi setahu saya, ia sudah diberi perhatian khusus oleh kerajaan negeri dan dijangka selesai dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui malaysiakini petang ini.

"Selain itu, tidak ada masalah lain seperti bekalan air dan elektrik...semuanya beres. Penduduk gembira dengan perkhidmatan yang diberikan oleh wakil rakyat BN di kawasan Raub," katanya.

Abdul Aziz yang juga setiausaha Umno bahagian Raub berkata, beliau amat mengetahui selok-belok penduduk kawasan berkenaan kerana telah membabitkan diri dalam Umno sejak 1983.

Dalam pilihanraya kecil Batu Talam itu, Abdul Aziz akan berdepan dengan calon bebas, Ng Chee Pang, 22, seorang peniaga pada 28 Januari ini.

Masalah rakyat

Katanya, selama bertugas sebagai pegawai khas Jabatan Penerangan sejak 22 tahun lalu, beliau sentias dekat dengan masyarkat setempat.

Sehubungan itu, beliau menjangka tidak hadapi sebarang masalah untuk berdepan dengan rakyat kerana 'saya tahu apa yang dikehendakai penduduk Batu Talam'.

Abdul Aziz meletak jawatan dalam Jabatan Penerangan semalam, sebaik sahaja diberitahu terpilih sebagai calon BN bagi kerusi Batu Talam.

Beliau yang berasal dari Kampung Batu Malim, dalam kawasan Batu Talam, Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah berkerja di luar daerah Raub.

"Saya sangat yakin dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk badan belia, majlis belia Felda," katanya yang merupakan anak keenam dari keluarga sebelas adik beradik.

"Pintu rumah saya sentiasa terbuka kepada sebarang masalah rakyat. Jika saya tidak dapat menyelesaikannya di sini, saya berjanji akan mengetengahkannya ke peringkat atas.

Umno prihatin

"Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob telah berjanji bahawa kerajaan negeri akan memberi perhatian sewajarnya kepada kawasan Batu Talam," katanya sambil menambah Umno bahagian Raub sangat prihatin terhadap keperluan penduduk setempat.

Mengenai tindakan PAS dan Parti Keadilan memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, Abdul Aziz berkata: "Saya tidak terkejut dengan penarikan diri PAS dan Keadilan kerana sejak sekian lama, Batu Talam merupakan kubu kuat Umno.

"Jika mengikut rekodnya, pembangkang hanya memproehi kira-kira 2,000 undi, tetapi saya percaya mereka tidak mampu mencapai jumlah itu jika bertanding kali ini," katanya sambil berkata kempen ke rumah ke rumah bermula hari ini.

"Mulai sekarang, saya akan lebih dekat dengan penduduk Batu Talam dan akan meneruskan program yang dirangka oleh wakil rakyat BN terdahulu

Kerusi Batu Talam menjadi kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 66 dari BN pada 27 Disember lalu akibat sakit barah. .