Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tak selesa beritahu syak wasangka pada Najib tentang penglibatannya'

KES 1MDB | Bekas pengerusi 1MDB mengakui dia sepatutnya bersemuka dengan Najib Razak dan bertanya sama ada perdana menteri ketika itu terlibat dalam transaksi di luar kelaziman dalam syarikat berkenaan atau tidak.

Saksi pendakwaan ke-15 Mohd Bakke Salleh memberi keterangan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia tidak selesa bersemuka dengan Najib pada 2009 berhubung kecurigaannya terhadap peranan Najib dalam urusan di 1MDB.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram, saksi itu mendakwa dia dihalang dan tidak digalakkan membuat aduan terus dengan Najib memandangkan Najib ketika itu merupakan perdana menteri.

Sebelum ini, Bakke memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai syak wasangka mengenai Najib terlibat dalam transaksi di luar kelaziman itu. Bakke meletak jawatan sebagai pengerusi 1MDB pada Oktober 2009.

Dalam prosiding lalu di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Bakke juga mendakwa dia mendapati adalah di luar kebiasaan apabila Najib tidak menjawab mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimnya pada 2009 mengenai transaksi berkenaan.

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB hari ini terhadap Najib, Bakke memberi keterangan bahawa ketidakselesaannya untuk berdepan dengan tertuduh ditambah lagi dengan syak wasangkanya mengenai pengalihan dana 1MDB AS$700 juta kepada Good Star Limited, sebuah entiti yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Pihak pendakwaan sebelum ini berhujah bahawa penglibatan Jho Low - yang kini dalam buruan - dalam penyelewengan transaksi di 1MDB adalah atas restu Najib. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

“Untuk pergi beritahu PM (Najib) dan beritahu dia apa yang berlaku dan syak wasangka saya, saya tidak selesa.

"Bagaimana saya menjawab soalan (peguam Muhammad) Shafee (Abdullah) adalah kerana apabila fikir semula, mungkin saya sepatutnya melakukan itu, PM atau tidak, saya sepatutnya tampil bersemuka (dengan Najib)," kata Bakke.

Dia merujuk kepada pemeriksaan balas sebelum ini oleh peguam utama Najib, Shafee, yang mempersoalkan kenapa dia tidak bersemuka dengan perdana menteri ketika itu dan menyatakan syak wasangka mengenai transaksi 1MDB.

Selain itu, Bakke memberitahu mahkamah bahawa selepas peletakan jawatannya, dia bertemu Najib beberapa kali selepas itu tetapi perdana menteri ketika itu tidak pernah bertanya sebab dia meletakkan jawatan.

Perbicaraan di hadapan Sequerah ditetapkan untuk disambung semula pada 7 Jun.

Ahli Parlimen Pekan Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB dilakukan oleh Jho Low dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan mendakwa Najib tidak tahu tentang salah laku dan keseluruhan skim penyelewengan itu didalangi oleh Jho Low dan beberapa ahli pasukan pengurusan dana itu.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Lihat Komen
ADS