Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AP import beras masih berkuat kuasa, kata Mafi

Approved Permit (AP) iaitu kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport bagi komoditi agromakanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair tidak lagi dikenakan, berkuatkuasa serta merta, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Katanya ia susulan keputusan pemansuhan AP yang dipersetujui kabinet dan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Mafi dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

Dengan pemansuhan AP itu, Mafi berkata semua syarikat dibenarkan mengimport komoditi agromakanan, tertakluk kepada permit import (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bersama syarat yang tertulis dalam permit.

Mafi berkata walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan dari luar negara, pengimport masih perlu mempunyai IP bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

“Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak, serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri semalam mengumumkan tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuat kuasa serta merta.

Katanya keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Mafi berkata ia akan terus memainkan peranan penting, bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat.

“Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS