Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemansuhan AP bukan penyelesaian krisis harga makanan - MP PKR
Diterbitkan:  May 19, 2022 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada lagi lesen import (AP) dikenakan bagi mengimport bahan makanan bukan penyelesaian kepada krisis harga makanan.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin sebaliknya berkata keputusan yang dicapai dalam mesyuarat kabinet itu cuma satu tindakan popular.

"Pemansuhan AP import makanan tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kos harga makanan sebab hanya melibatkan empat jenis makanan sahaja. Kerajaan seharusnya memahami dengan lebih dalam Industri pertanian dan rantaian makanan.

"Dasar yang memansuhkan AP walaupun dinampak popular, tapi tidak akan menyelesaikan masalah kos makanan jika kerajaan tidak meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan para petani, nelayan dan penternak domestik," katanya.

Ismail Sabri semalam mengumumkan tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuat kuasa serta merta.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Barang yang diberi kelonggaran adalah kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair. Bagaimanapun, AP import beras masih berkuat kuasa.

Namun, Sim berpendapat bahawa punca kenaikan harga makanan sebenarnya adalah kebergantungan kepada pengimportan makanan.

"Apabila harga makanan antarabangsa naik, maka harga makanan Malaysia juga naik kerana kita import. Apabila ringgit Malaysia jatuh ke paras RM4.40 berbanding AS$1, harga makanan naik kerana kita bayar negara pengeluar dalam AS dolar.

"Pada pendapat saya, kerajaan seharusnya meningkatkan kapasiti negara kita sendiri untuk mengeluarkan makanan untuk memenuhi keperluan 32 juta rakyat dalam negara kita yang dipanggil kedaulatan makanan," katanya.

Untuk rekod, Malaysia mengimport RM55 bilion makanan pada tahun 2020.

Lihat Komen
ADS