Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan terhadap polis didakwa salahkan pemain cosplay selesai

Polis memaklumkan siasatan dalaman terhadap seorang anggota yang dituduh menyalahkan seorang pemain cosplay ketika dia membuat laporan kerana diganggu penghendap, telah selesai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata pihaknya akan menghantar laporan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk arahan lanjut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fakhruddin berkata jika didapati bersalah, antara tindakan disiplin yang boleh diambil terhadap anggota itu termasuklah penurunan pangkat atau pemotongan gaji.

Pada Isnin lalu, seorang pemain cosplay wanita yang mengendalikan reruai di Anime Fest yang diadakan di Paradigm Mall Petaling Jaya hujung minggu lalu membuat laporan polis di balai polis Kelana Jaya terhadap seorang individu.

Menurut laporan polisnya yang dilihat Malaysiakini, wanita berusia 21 tahun itu berkata dia diganggu oleh seorang individu yang datang ke reruainya.

Dalam satu ciapan sehari selepas membuat laporan, dia berkata ketika di balai, seorang anggota polis berkata kepadanya: "You pakai macam ini (untuk) jual gambar, ini adalah akibatnya. You pun juga salah."

Cosplay - gabungan perkataan costume dan play - melibatkan individu yang berkaian seperti watak dalam animasi dan permainan video.

Wanita itu berkata dia memakai jaket ketika membuat laporan.

Susulan itu, polis membuat siasatan dalaman terhadap pegawai tersebut.

Siasatan selesai setelah wanita itu memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya hari ini.

Dia memaklumkan proses itu berjalan selama kira-kira empat jam.

Sementara itu, dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini semalam, Anime Fest berkata pihaknya memandang serius kes gangguan itu dan akan menanganinya secara wajar.

"Kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan acara kami selamat untuk semua," kata mereka.

Namun, mereka enggan mengulas kes ini secara khusus atas sebab siasatan masih berjalan ketika itu.

Lihat Komen
ADS