JKN S'wak pandang serius aduan penjaga pesakit tak dapat layanan wajar
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memandang serius berkenaan dakwaan penjaga kepada pesaki tidak dapat mendapat layanan sewajarnya daripada pihak pengurusan hospital di negeri itu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck bagaimanapun berkata, polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat adalah tertakluk kepada garis panduan sedia ada yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“JKN Sarawak memandang serius aduan-aduan tersebut dan tindakan siasatan lanjut telah pun diambil serta-merta.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga ingin memaklumkan bahawa polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat yang berkuat kuasa adalah tertakluk kepada polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital KKM semasa fasa peralihan ke endemik Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang berkuatkuasa pada 23 April lalu.
“Semua penjaga atau pelawat yang mematuhi kriteria umum dalam polisi tersebut adalah dibenarkan untuk melawat dan menjaga pesakit,” kata Dr Oo dalam satu kenyataan, semalam.
Ooi berkata demikian berikutan isu yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan penjaga kepada pesakit di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu mendakwa tidak dibenarkan bergilir-gilir menjaga ahli keluarga yang sakit
Pada 21 April lalu, KKM memberikan kebenaran kepada penjaga untuk menemani pesakit di wad, selain hospital dibenarkan menerima pelawat berkuat kuasa 1 Mei.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti wad di hospital serta perkembangan terkini pandemik Covid-19.
Pada 15 Mei, seorang jurugambar profesional mengadu mengenai kesukaran menjaga bapanya, yang dimasukkan ke hospital Kuching pada 10 Mei akibat masalah pernafasan.
Carol Yong mendakwa sejak menjaga bapanya yang berusia 72 tahun itu, dia diberitahu tidak dibenarkan bertukar syif dengan orang lain, sekurang-kurangnya selama tiga malam.
Carol juga tidak dibenarkan meninggalkan wad selama lebih 30 minit dan perlu mengulangi ujian Covid-19 jika gagal berbuat demikian.
"Bayangkan selama empat hari, kamu tinggal di dalam bilik di mana kamu tidur di atas lantai atau kerusi, tidak boleh keluar selama lebih daripada 30 minit, dan jika kamu melakukannya, kamu tidak boleh meninggalkan premis itu.
"Kamu tidak boleh tidur lebih daripada dua hingga tiga jam dalam satu malam. Itulah kehidupan seorang penjaga pesakit di Hospital Umum Sarawak," katanya yang turut menandakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di laman Twitter.

