Dangkal jika kaitkan etika berpakaian dengan golongan miskin - Zahid
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan ahli parlimen pembangkang yang mengaitkan etika berpakaian sebagai membebankan golongan miskin atau etnik tertentu adalah dangkal dan berlebihan.
Jelasnya, orang ramai mengerti pakaian yang sopan dan susila tidaklah bererti pakaian yang berharga mahal atau cantik.
"Rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama sejak dulu memahami konsep kesopanan dan kesusilaan yang merupakan sebahagian daripada Rukun Negara," kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Beruas DAP Ngeh Koo Ham menggesa Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali bertindak terhadap ketua jabatan yang dituduh melanggar undang-undang apabila menetapkan kod pakaian untuk orang ramai yang memerlukan perkhidmatan di kaunter kerajaan.
Ngeh, yang berkata dia telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai etika berpakaian di pejabat kerajaan, juga menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya dinafikan perkhidmatan semata-mata atas alasan pakaian.
“Seorang petani berseluar pendek dan singlet atau Orang Asli dalam pakaian tradisional mereka berhak dilayan oleh penjawat awam.
"Orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam," katanya.

