‘Tidak wajar veteran berjemur, menteri bawah khemah berkipas’
Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyelar layanan dua darjat yang diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa satu majlis sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Persatuan Veteran ATM (PVATM) di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya, pada Sabtu, 21 Mei lalu.
Exco Pemuda Pejuang, Mohd Akmal Yusoff berkata, tujuan majlis itu adalah untuk meraikan veteran yang terdiri majoriti mereka dari kalangan warga emas tetapi layanan yang diberikan seolah-olah menunjukkan sebaliknya.
“Veteran ini tidak patut sama sekali diperlakukan sebegitu rupa, malahan sepatutnya mereka diraikan dalam keadaan yang tidak membebankan, apatah lagi di ‘jemur’ di tengah panas seperti itu.

“Sementara peserta acara yang yang berjawatan, termasuk pegawai tinggi dan menteri diberikan kerusi yang empuk di bawah khemah berkipas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Akmal merujuk satu klip video yang tular di laman media sosial yang menunjukan barisan veteran ATM berdiri di tengah panas sambil mendengar ucapan.
Selain Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, acara itu juga dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Affendi Buang dan Presiden PVATM, Presiden PVATM,Shaharudin Omar.

Dalam ucapannya, Hishamuddin berkata kerajaan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membolehkan anggota veteran ATM mendapat kerjaya kedua, dengan pendapatan yang setimpal selepas bersara.
Malah, katanya, bilangan veteran ATM yang mendapat pekerjaan kedua juga semakin bertambah setiap tahun.
"Kita juga mewujudkan inisiatif khusus iaitu MyVeteran Mall bagi membantu meluaskan peluang anggota veteran ATM bagi memasarkan produk perniagaan mereka," katanya.
Hishammuddin juga berkata, kementerian itu dijangka mengumumkan berita gembira kepada ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dalam masa terdekat termasuk membabitkan kebajikan bekas tentera.

Walau bagaimanapun, rakaman video yang dimuatnaikkan di sebuah portal mengenai majlis itu mengundang rasa tidak puas hati daripada warga maya yang meluahkan rasa kesal melihat pesara-pesara tentera itu ‘berjemur’ di tengah cuaca terik.
Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, adalah lebih baik sekiranya acara sambutan ini diadakan di dalam tempat tertutup seperti stadium.
“Jika tidak pun di tempat yang sama, tetapi ditukar masanya ke waktu petang atau malam bagi mengelakkan daripada insiden veteran ‘dijemur’ ini,” katanya.
Sehubungan itu, dia menggesa pihak yang terlibat dalam penganjuran acara itu supaya bertanggungjawab dan membuat permohonan maaf kepada semua veteran tentera yang ‘dijemur’ itu dan memastikan agar insiden berkenaan tidak berulang.
Mohd Akmal berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan veteran ATM mesti memastikan bahawa kebajikan veteran sentiasa terpelihara terutama dalam soal kesihatan.
“Ini terutama dalam soal kesihatan yang masih lagi boleh diperbaiki.

“Masih ramai veteran yang terpaksa menunggu lama sama ada untuk mendapatkan rawatan kritikal/separa kritikal mahupun menunggu kelulusan tanggungan kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

