Persatuan Veteran ATM (PVATM) menjelaskan gambar dan video yang menunjukkan veteran tentera berdiri di tengah panas dalam acaranya ialah situasi biasa bagi perbarisan statik. 

Presidennya Sharuddin Omar berkata perbarisan itu dianjurkan PVATM sempena meraikan 100 tahun persatuan dan bukan majlis perjumpaan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein seperti mana didakwa.

Justeru, PVATM menolak dakwaan layanan dua darjat apabila orang kenamaan mendapat layanan berbeza.

"Bagi ahli-ahli PVATM, berpeluang menjadi sebahagian dari peserta perbarisan statik tersebut adalah satu kebanggaan dan penghormatan besar," katanya dalam kenyataan.

Shahruddin dalam pada itu turut menjelaskan gambar yang tular menunjukkan veteran tentera makan di bawah pokok.

Menurutnya mereka adalah peserta perbarisan dari PVATM negeri Kedah yang sedang berehat di sekitar Masjid Tuanku Mizan ketika menunggu waktu masuk solat Zohor sebelum majlis Tahlil dan Doa Selamat diadakan selepas solat Zohor.

Jelasnya, jamuan melibatkan orang kenamaan terpaksa diadakan dalam dewan bankuet demi menghormati kehadiran tetamu jemputan melibatkan veteran negara-negara Asean seramai 27 orang.  

“YB menteri kanan pertahanan sendiri menyuarakan hasrat kepada presiden PVATM  untuk makan bersama dengan peserta perbarisan pada awalnya tetapi keadaan tidak mengizinkan berdasarkan kepada atur cara sambutan yang padat,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Sharuddin berkata pemilihan veteran tentera berkenaan dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria tertentu termasuk tahap kesihatan mereka.

Justeru katanya, PVATM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang mengeluarkan komen dan kritikan negatif ke atas badan itu, termasuk di kalangan veteran tentera sendiri.

"Veteran seharusnya bersatu padu dalam bersama mewujudkan semangat kesatuan dan mengukuhkan ukhwah sesama sendiri dan bukannya memecah belahkan lagi kesatuan yang sedia wujud," tegasnya.