Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menggesa pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) mendedahkan punca kematian mahasiswa perakaunan, S Vinosiny, 20 yang dikatakan maut akibat renjatan elektrik baru-baru ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, bekas menteri pendidikan itu berkata, bapa mangsa R Sivakumar berhak mendapatkan penjelasan mengenai punca sebenar kematian anaknya.

“Jika ia berpunca akibat masalah infrastruktur di universiti, sudah tentu beliau tidak mahu peristiwa tersebut berulang kepada siswa yang lain.

“Saya berharap pihak UUM dan KPT dapat mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kematian S Vinosiny, dan dapat memberikan penjelasan terperinci yang memuaskan berhubung kematian mendiang kepada keluarga mendiang dan juga kepada umum.

“Saya turut memberi perhatian dan bersetuju terhadap apa yang disuarakan oleh wakil pelajar dari SPF UUM yang meminta pihak UUM supaya mendedahkan perincian berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sivakumar mendakwa ketika pihak pengurusan UUM menghubunginya pada pukul tiga petang Sabtu lalu, dia hanya diberitahu yang anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Katanya, dia akan berjuang untuk mendapatkan kebenaran mengenai kematian anaknya memandangkan tiada penerangan yang jelas diberikan oleh pengurusan universiti dan polis.

Menurut Sivakumar, anaknya yang juga merupakan mahasiswa semester empat itu mempunyai kesan terbakar yang jelas di muka dan tangan kanannya, serta dua jarinya berwarna ungu kehitaman ketika doktor menunjukkan mayat mendiang kepadanya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Insiden ini didedahkan oleh persatuan pelajar Student Progressive Front UUM (SPF UUM).

Dalam kenyataan semalam, SPF UUM turut menggesa pihak universiti untuk mendedahkan perincian berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan mahasiswa.