Calon bebas Batu Talam hilang
Hanya sehari selepas penamaan calon untuk pilihanraya kecil Batu Talam, calon bebas Ng Chee Pang gagal dikesan.
Hanya sehari selepas penamaan calon untuk pilihanraya kecil Batu Talam, calon bebas Ng Chee Pang gagal dikesan.
Remaja berusia 21 tahun itu, yang mencuri perhatian sewaktu proses penamaan calon di Raub semalam, nampaknya tidak menonjolkan diri selepas menyerahkan borang pencalonannya.
Chee Pang tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbit bapanya, Ng Kwi Ling walaupun malaysiakini mencuba berulangkali. Peti suara telefon itu juga penuh.
Para wartawan tempatan berkata mereka juga tidak dapat mengesan Ng atau menghubunginya atau bapanya sejak petang semalam.
'Kehilangannya' itu telah mencetuskan spekulasi kemungkinan Ng menarik dari, memandangkan tekanan besar yang dihadapinya supaya tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Ng, seorang peniaga yang akan mencapai usia 22 tahun Isnin ini, akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Kiram, 47, pada 28 Januari ini.
Pujuk Kwi Ling
Pengerusi DAP Pahang, Lip Tuck Chee memberitahu malaysiakini, para pemimpin DAP negeri, telah menemui Kwi Ling malam tadi untuk memujukkan supaya menarik balik pencalonan anaknya itu.
"Jika anaknya bertanding, ia akan memberi impak yang besar terhadap kami. Calon bebas itu adalah anak pemimpin DAP negeri, dan kita akan berdepan dengan dilemma jika kita tidak berkempen untuk Chee Pang," kata Lip.
Bagaimanapun, katanya, Kwi Ling nampaknya tidak begitu berminat untuk berbuat demikian. Di bawah undang-undang pilihanraya, penarikan balik pencalonan mesti dilakukan dalam tempoh tiga hari selepas hari penamaan calon.
Parti pembangkang, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memboikot pilihanraya kecil Batu Talam atas alasan berlaku kepincangan dalam sistem pilihanraya.
Kepimpinan tertinggi DAP hari ini mengisytiharkan bahawa parti itu tidak terbabit dalam pilihanraya kecil itu dan ia juga tidak menyokong pencalonan Chee Pang kerana dia bukan ahli parti itu.
Lip berkata, DAP Pahang juga mematuhi arahan pucuk pimpinan pusat supaya membubarkan badan penasihat pilihanraya yang dianggotai pemimpin DAP negeri, untuk membantu kempen Chee Pang atas kapasiti peribadi mereka.
Peluang tingkat populariti
Beliau berkata, Kwi Ling sebelum ini telah menyuarakan hasratnya untuk meletakkan anaknya itu bertanding kerusi Parlimen Raub dalam pilihanraya umum akan datang.
Jadi, katanya, pilihanraya kecil ini merupakan peluang untuk meningkatkan populariti anaknya (Chee Pang), tetapi dia belum lagi menjadi ahli DAP.
"Kita tunggu dan lihatlah perkembangan seterusnya," tambah Lip.
Kwi Ling sendiri pernah bertanding sebanyak empat kali bagi kerusi negeri di Pahang sejak 1982 dan dua kali kerusi Parlimen Raub pada 1995 dan 1999. Beliau kalah di semua kerusi tersebut.
Pada 1999, beliau kalah kepada calon BN-MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen dengan majoriti 5,601 undi. Ng merupakan Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua Wanita MCA pusat. Berita asal

