Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang ibu berusia 41 tahun cedera parah pada paru-paru selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh anak lelakinya dalam kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan SAC Mohd Nor Yazhid Idris berkata polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi selepas dihubungi seorang doktor yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, doktor berkenaan memaklumkan pihak hospital menerima pesakit yang mengalami kecederaan akibat ditikam dengan pisau.

"Berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur di rumah, termasuk mangsa dan suspek yang berusia 14 tahun di dalam bilik sama.

"Mangsa dengan tiba-tiba terasa sakit dan nampak ada sebilah pisau tertusuk pada dadanya.

"Mangsa dikatakan cuba memanggil suaminya yang tidur di bahagian ruang tamu rumah semasa kejadian.

"Mangsa kemudian tidak sedarkan diri selepas bertindak mengeluarkan pisau tersebut itu sendiri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Nor Yazhid, sejurus selepas itu mangsa dibawa suaminya ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor mengesahkan kesan tikaman tersebut membocorkan organ paru-paru bahagian kiri dan perlu dirujuk ke untuk rawatan lanjut kerana mangsa kehilangan darah yang banyak.

"Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa telah ditikam menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.

"Suspek berusia 14 tahun merupakan pelajar di sebuah sekolah itu mengalami demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada ibunya," katanya.

Sementara itu Mohd Nor Yazhid juga mengesahkan suspek berjaya ditangkap dan akan direman bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala mangsa dirawat di zon merah HUSM.

Lihat Komen
ADS