Mahkamah Rayuan Singapura telah memerintahkan dua peguam yang bertindak mewakili rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam - yang dihukum mati atas kesalahan mengedar dadah - untuk membayar S$20,000 (RM64,000) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) republik itu.

AGC Singapura pada asalnya meminta kos peribadi S$40,000 daripada kedua-dua mereka kerana memfailkan permohonan yang tidak wajar dan dengan itu menanggung kos yang tidak perlu.

Mahkamah Rayuan memerintahkan M Ravi menanggung 75 peratus kos dan Violet Netto pula menanggung 25 peratus lagi kos.

Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan berkata mana-mana peguambela yang munasabah akan bersetuju bahawa kes yang difailkan oleh Ravi dan Violet tidak mempunyai asas fakta dan kes mereka merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Menurut Straits Times Singapura, kedua-dua mereka tidak mengemukakan kes terbaik mereka sejak awal dan sebaliknya perlahan-lahan mengemukan apa yang dikatakan bukti dan dokumen sepatutnya pada saat-saat terakhir.

Nagaenthran dijadualkan dihukum gantung pada 10 Nov tahun lalu tetapi diberi penangguhan hukuman mati pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan pada saat akhir.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan berkenaan.

Rayuan kepada Mahkamah Rayuan Singapura juga telah ditolak pada 29 Mac tahun ini.

Ibu Nagaentran memfailkan rayuan lagi, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan yang dijadualkan pada 27 April. Rayuan tersebut juga tidak berjaya.

Melalui ciapan di Twitter, Ravi pada satu ketika semasa prosiding semalam berkata dia telah memberitahu Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon, yang mengetuai panel Mahkamah Rayuan, bahawa "sejarah akan bersama saya dan menilai saya."