Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Jawatan kabinet Zuraida akan diganti oleh pemimpin Bersatu
Diterbitkan:  May 26, 2022 7:21 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Portfolio kementerian perladangan dan komoditi akan diisi oleh pemimpin Bersatu apabila Zuraida Kamaruddin keluar daripada parti itu secara rasmi, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata ini berikutan bilangan jawatan kabinet yang disandang Bersatu telah dipersetujui antara presiden parti Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Bermakna, jika Zuraida digugurkan daripada Bersatu maka tempatnya itu akan digantikan oleh seseorang dari Bersatu seperti yang dicadangkan presiden parti untuk menjadi menteri yang mewakili Bersatu,” katanya seperti dipetik Bernama.

Zuraida awal hari ini mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya daripada kabinet dengan Ismail Sabri.

Dakwaan sebelum ini bahawa dia terlibat dalam PBM telah menyebabkan Bersatu memulakan siasatan tatatertib terhadapnya.

Ini memandangkan sebilangan besar sekutu Zuraida di dalam dan luar Bersatu telah menyertai PBM.

Hamzah, yang merupakan setiausaha agung Bersatu, berkata ahli parlimen Ampang itu telah memberitahu parti itu dalam surat pada 23 Mei bahawa dia bukan ahli PBM.

Hamzah menambah bahawa peletakan jawatan Zuraida daripada Bersatu masih belum rasmi, tetapi dia telah disingkirkan daripada majlis tertinggi parti.

"Saya berpendapat, beliau telah menunjukkan sikap sebenarnya. Beliau tidak hadir beberapa mesyuarat parti, iaitu lebih daripada enam mesyuarat,“ kata Hamzah.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook petang tadi, Muhyiddin mendedahkan keahlian Zuraida dilucutkan serta-merta apabila dia mengisytiharkan keluar daripada Bersatu awal hari ini, seperti dinyatakan Fasal 10 perlembagaan Bersatu.

“Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada perdana menteri tidak lama lagi untuk dilantik sebagai anggota kabinet memandangkan jawatan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota Bersatu,” kata Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS