Bekas menteri Khairuddin Aman Razali berpandangan lebih elok jika Zuraida Kamaruddin dikekalkan sebagai menteri perladangan dan komoditi kerana Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi.

Khairuddin yang memegang portfolio sama sebelum Zuraida menambah, jika tetap perlu mengganti Zuraida, dia mencadangkan agar timbalan menteri Willie Mongin dilantik ke jawatan itu.

Zuraida semalam mengumumkan keluar Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, Bersatu berkata ia akan mencalonkan pengganti dari kalangan pemimpin mereka tidak lama lagi.

Mengulas mengenai rombakan yang akan berlaku, Khairuddin menyorot bahawa sudah tiga menteri berbeza memgang portfolio itu bagi penggal ini.

Malah, katanya, menteri baru perlu mempelajari selok-belok kementerian, dan perubahan di bawah kepimpinan baru boleh melibatkan tambahan kos.

"Perubahan pula tentu akan berlaku kepada pengerusi dan pegawai utama GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang dilantik oleh menteri sekarang.

"Ia juga melibatkan kos untuk sebarang perubahan menteri," katanya.

Khairuddin berkhidmat sebagai menteri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Dia digugurkan di bawah pentadbiran Ismail Sabri.