Menang dengan majoriti lebih 3,000 undi. Itulah arahan kepada jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Batu Talam 28 Januari ini.

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, BN tidak mahu majoriti yang diperolehi nanti berkurangan.

Oleh itu, beliau mahu jentera BN digerakkan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh bagi capai sasaran tersebut.

Katanya, matlamat BN ialah mahu majoriti yang diperolehi nanti melebihi majoriti yang diperolehi pada pilihanraya umum 2004.

Menurut lapoaran Bernama, Najib memberitahu pemberita demikian selepas meninjau bilik gerakan MCA cawangan Cheroh, di Raub semalam.

Pilihanraya kecil Batu Talam kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram yang juga setiausaha Umno Raub dengan calon bebas Ng Chee Pang, seorang peniaga.

Harapan BN

Dalam pilihanraya umum lalu, calon BN, Allahyarham Datuk Tengku Paris Tengku Razlan menewaskan calon PAS Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf dengan majoriti 2,761 undi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Tengku Paris pada 27 Disember lalu, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 28 Jan ini.

"Dulu (2004) kita dapat majoriti 2,761 undi tapi kali ini kita mahu melebihi majoriti dahulu, kalau kita dapat 3,000 ke atas , itu merupaan kejayaan yang diharapkan BN.

"Kita tidak mahu takbur atau sombong, ini peringkat awal lagi, ada 11 hari lagi kempen, setakat ini kita puas hati dengan kempen yang diadakan...majoriti yang besar akan hanya dapat diperolehi kalau kita bekerja kuat dan bersungguh dan mengikut segala arahan parti," kata Najib.

Terdahulu, Najib turut meninjau bilik gerakan pilihan raya kecil parti Gerakan, bilik gerakan Umno Selangor dan bilik gerakan MIC di Kampung Cheroh.