PM: Zuraida masih lagi menteri
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin masih lagi anggota kabinet walaupun keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
"Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam soal ini. Tapi keputusan terakhir pada perdana menteri lah.
"Oleh kerana masih terlalu awal untuk saya buat keputusan kerana belum ada perjumpaan.
“Belum ada berbincang dan sebagainya. Saya tak komenlah apa tindakan seterusnya.
"Tunggu saya balik, saya panggil dia bincang. Kemudian baru saya boleh buat keputusan," kata perdana menteri yang hadir Persidangan Nikkei ke-27 di Tokyo.

Susulan pengumuman Zuraida pada 26 Mei itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata dia akan mengemukakan kepada perdana menteri dalam masa terdekat nama pengganti Zuraida untuk dilantik sebagai anggota kabinet.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula berkata kekosongan yang ditinggalkan Zuraida itu bakal diisi oleh pemimpin Bersatu.
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula mengingatkan Ismail Sabri supaya tidak lagi berkompromi kepada pihak yang melompat dengan mengekalkan jawatannya dalam kabinet.
“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat,” kata Zahid.
Katanya, ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida.

Menjelaskan lanjut, Ismail berkata Zuraida setakat ini "masih boleh menghadiri" mesyuarat kabinet pada Rabu depan.
"Sebab dia tidak meletak jawatan sebagai menteri kabinet dan saya pun tidak pecat dia sebagai menteri kabinet.
"Jadi dia masih lagi menteri," kata perdana menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama hari ini melaporkan Ismail Sabri ditanya jika dia akan menerima peletakan jawatan Zuraida selepas mereka bertemu kelak
"Saya tak nak cakap pasal 'jika' ini. Kita seberangi jambatan, baru kita buat keputusan.
"Sekarang jambatan pun tak nampak lagi,” katanya.
Kabinet kelam-kabut?
Kata perdana menteri, sebarang perubahan pada Kabinet perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Kalau ada pelantikan baharu, angkat sumpah, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya mesti menghormati Agong," jelasnya.
Perdana menteri juga ditanya sekiranya kabinet masih utuh selepas langkah Zuraida itu, Ismail Sabri berkata: "Tiada isu sangat."
Menurutnya, 'orang luar' mungkin menyangka kabinet hari ini 'kelam kabut' kerana dianggotai pelbagai parti, namun sebenarnya menteri akan mengetepikan perbezaan politik apabila membuat keputusan demi kepentingan negara.

"Bila masuk Kabinet, kita tinggalkan perbezaan contohnya di (pilihan raya negeri) Johor dan Melaka, kita tak bawa pun dalam Kabinet.
"Fokus kita dalam Kabinet adalah untuk kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira parti mana, kita buat keputusan secara bersama," kata Ismail Sabri lagi.
Zuraida ketika membuat pengumuman keluar Bersatu bagaimanapun berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.
"Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri," katanya pada 26 Mei lalu.

