Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB N Sembilan menang ketua cabang PKR Port Dickson
Diterbitkan:  May 29, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menang jawatan ketua cabang PKR Port Dickson, walaupun terdapat bantahan terhadapnya semasa proses pengundian minggu lalu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi di laman web pemilihan PKR, Aminuddin menang dengan 1,129 undi, mengatasi bekas penyandang Ravi Munusamy yang memperoleh 951 undi.

Pada 16 Mei lalu, berlaku kekecohan di pusat pemilihan PKR di Port Dickson.

Kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai "bukan pro-MB" mendakwa berlaku penipuan dalam pemiihan kali ini yang memihak kepada Aminuddin, menyebabkan mereka mengadakan protes di pusat pemilihan berkenaan sebelum berlaku pertengkaran dengan kumpulan lain.

Kejadian itu memaksa pasukan polis, termasuk anggota yang dilengkapi peralatan antirusuhan, dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Sementara itu, Rafizi Ramli mengatasi pesaingnya Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden PKR di tujuh daripada lapan cabang PKR di Negeri Sembilan.

Rasah merupakan satu-satunya cabang di Negeri Sembilan yang dimenangi oleh Saifuddin, dengan kelebihan 95 undi.

Secara keseluruhan Rafizi memperoleh 5,127 undi berbanding Saifuddin mendapat 2,485 undi di Negeri Sembilan.

Sementara itu, di Kelantan, Rafizi memenangi sembilan daripada 13 cabang PKR di sana, dengan Saifuddin hanya menang di cabang Jeli, Machang, Kubang Kerian dan Rantau Panjang.

Secara keseluruhan, Rafizi memperoleh 2,926 undi di Kelantan manakala Saifuddin mendapat 1,995 undi.

Pemilihan PKR bermula pada 13 Mei dan berlangsung selama 10 hari.

Keputusan tidak rasmi akan diterbitkan di laman web parti itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada kongres parti itu yang akan diadakan pada 25 dan 26 Jun ini.

Lihat Komen
ADS