'Terima kasih, tak pernah timb presiden dapat mandat sebegini besar'
Bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengucapkan penghargaan kepada ahli PKR yang telah memberinya mandat untuk dipilih sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Menurut Rafizi mandat besar yang diberikan kepadanya membuktikan ahli PKR mahukan parti kembali kepada landasan reformasi.
“Sejak dari awal, saya nyatakan bahawa sebagai parti yang ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, kita mesti yakin dengan kebijaksanaan rakyat.
"Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu.
"Saya terterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi Keadilan bersetuju dengan pendirian saya itu.
"Dalam sejarah pemilihan Keadilan sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang timbalan presiden mendapat mandat yang sebegini besar – selain daripada undi popular hampir 60 peratus, lebih 80 peratus daripada semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai timbalan presiden kepada saya," katanya dalam kenyataan.
Menurut Rafizi, dia dipilih bukanlah sebab ahli akar umbi PKR lebih sukakan dirinya berbanding pencabarnya, Saifuddin Nasution Ismail.
"Saya tahu saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan saya banyak kelemahan sendiri.
"Anggota akar umbi Keadilan memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.
"Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka," katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan pusat parti itu, Rafizi menewaskan Saifuddin yang juga merupakan setiausaha agung PKR.
Setakat undi yang dikira jam 8.30 malam tadi Rafizi memperoleh 67,895 undi, meninggalkan Saifuddin dengan perbezaan 17,283 undi.
Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai pemilihan itu hanya akan diumumkan pada kongres nasionalnya Jun ini.

