Buku Ashaari pemimpin paling ajaib diharamkan
Kerajaan mengharamkan buku berjodol `Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya' di negara ini.
Kerajaan mengharamkan buku berjodol `Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya' di negara ini.
Pengharaman buku terbitan Minda Ikhwan itu berkuatkuasa antara 14 Disember lalu.
Selain buku yang ditulis Khadijah Aam itu, dua lagi buku penerbitan Minda Ikhwan turut diharamkan berkuatkuasa 14 Disember lalu ialah Tsunami Pembawa Mesej dari Tuhan (Ashaari Muhammad dan Khatijah Aam) dan Pendidikan Rapat dengan Rohaniah Manusia (Ashaari Muhammad, Penerbitan Minda Ikhwan).
Menurut laporan Bernama, turut diharamkan pada tarikh yang sama ialah buku mengenai bekas pemimpin Al Arqam iaitu `Mengapa Sebahagian Bekas Pemimpin Arqam Menentang Haji Ashaari' oleh Dr Mohd Noor Mohd Basir dan Alifi Alias yang diterbitkan Perniagaan Mata Angin.
Aahaari adalah Pengerusi Eksekutif Rufaqa dan menguasai kira-kira 75 peratus pegangan saham dalam syarikat perniagaan tersebut.
Selain di Malaysia, Rufaqa juga mempunyai rangkaian perniagaan di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.
Pihak berkuasa agama negeri, khususnya Selangor mendakwa Rufaqa terbabit dalam usaha untuk menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994.
Buku tersebut telah dilancarkan secara rasmi penjualannya di Phuket, Thailand, pada Oktober. Kini ia dijual di merata-rata kedai buku di seluruh negara. Penerbitan buku-buku berunsur agama adalah salah satu daripada cabang perniagaan Rufaqa.
Kandunganya, antara lain mendakwa Ashaari sebagai Putera Bani Tamim yang mampu bertemu dan berkomunikasi dengan Rasulullah s.a.w serta diberi kuasa untuk memanggil duit, "power" serta segala keperluannya.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berkata buku-buku tersebut adalah antara 18 penerbitan yang diharamkan antara 12 Oktober dan 24 Disember lalu kerana didapati mengandungi bahan yang menyentuh kesucian agama Islam atau fakta yang menyeleweng, menyesat akidah, menghina Nabi dan Rasul.
Menurut kenyataan itu perintah larangan penerbitan itu dibuat mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Mudarat ketenteraman awam
Perintah di bawah akta itu memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan itu, penerbitan yang diharamkan berkuatkuasa 12 Oktober lalu ialah Kamasutra: Apakah Kebaikannya yang ditulis oleh Drs Munir Rahmat dan diterbitkan oleh Kalam Ilham Sdn Bhd; Pengakuan Mangsa Rogol (Ayu Mayangsari, Visi Mega Publications); Umee Srimas Pakar Repair "Anu" Lelaki (Webah Salleh, Teguh Ringgit Publishing House) dan Rahsia Penyegar Tenaga Batin Suami Isteri (Dr Ruhani, Al-Hidayah Publishers).
Penerbitan yang diharamkan berkuatkuasa 16 November lalu ialah Bahaya Taqlid Buta & Ta'sub Mazhab ditulis oleh Rasul Dahri diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa; Siri 2: Imam Syafie (Rahimahullah) Mengharamkan Kenduri Arwah , Tahilan, Yasinan & Selamatan (Ustaz Rasul bin Dahri, Perniagaan Jahabersa) dan Jejak-jejak Sufi di Malaysia dan Kesannya Ke atas Dakwah Islamiah (Abu Nu'mam Sulaiman Ibrahim Al-Baruhi, Jabatan Mufti Wilayah Negeri Sembilan).
Penerbitan yang diharamkan berkuatkuasa 21 Disember lalu ialah Negara Tuhan yang ditulis oleh Tigga dan diterbitkan oleh Putra Langit Minomarlani; The Origin of Species (F Susilohardo Basuki Hernowo, Ikon Teralitera); Buku Pintar Al-Quran Referensi Lengkap Memahami Kitab Suci Al-Quran (Sudarji, S.Pd @ Gruphermes Mlg, Ladang Pustaka & Intimedia) dan Islam: A Short History Sepintas Sejarah Islam (Ira Puspito Rini, Ikon Teralitera).
Penerbitan lain yang diharamkan berkuatkuasa tarikh yang sama ialah Islam and the West: A New Political and Religious Order Post September 11 yang ditulis oleh Robert Van de Weyer diterbitkan oleh Synergy Books International dan Who is a Muslim diterbitkan oleh Sathiyaney Jeyam.
Manakala penerbitan yang diharamkan berkuatkuasa 28 Disember lalu ialah Mac 8 ditulis K. Arumugum dan diterbitkan oleh Separuthi Publications Sdn Bhd.

