Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Keghairahan Najib gesa PRU awal tanda pengakuan bersalah

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli melihat bekas perdana menteri Najib Razak kini berlumba dengan masa.

Menurutnya, semakin lambat pilihan raya diadakan, semakin dekat kemungkinan Najib berpindah dari kediaman mewahnya di Pavillion di Kuala Lumpur ke penjara.

Justeru, kata Rafizi lagi, Najib menggesa pilihan raya umum diadakan segera agar dia dapat bebas melalui pengampunan diraja.

Bercakap kepada Malaysiakini, pemimpin PKR itu juga mendakwa keghairahan bekas perdana menteri itu boleh ditafsirkan sebagai satu pengakuan bersalah.

“Najib berharap pilihan raya lebih awal boleh menempatkan semula Umno di Putrajaya dan parti itu akan mendesak pengampunan diraja sebelum rayuan terakhirnya.

"Ironinya walaupun dia boleh berbohong, (dengan mengatakan) dia tidak mencuri apa-apa wang untuk memperdaya penyokongnya, desakannya untuk pilihan raya segera adalah pengakuan bersalah secara diam-diam kerana ia mengesahkan strateginya untuk bergantung kepada pengampunan jika Umno kembali," tambahnya.

Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun Najib berhubung kes SRC International, anak syarikat 1MDB.

Namun, dia diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, pada konvensyen BN kelmarin, yang dibicarakan atas tuduhan rasuah, membuat gesaan supaya pilihan raya diadakan segera.

Dalam ucapannya, ahli parlimen Pekan itu berkata pilihan raya tidak boleh ditangguhkan kerana inflasi atau kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, Rafizi mendakwa Najib dan Zahid serta "kluster mahkamah" Umno sedang mengatur strategi demi kepentingan diri sendiri.

“Jelas sekali Najib dan Zahid berada dalam keadaan panik. Mereka sanggup menimbulkan keretakan dan ketidakstabilan dalam Umno semata-mata untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka semasa dalam kerajaan.

"Sudah menjadi rahsia umum, bahawa ‘kluster kabinet’ Umno, yang diketuai oleh perdana menteri, menentang pilihan raya umum awal," katanya.

Katanya, Najib dan Zahid juga sanggup mempertaruhkan pemilihan Umno sejak parti itu dihukum pada masa lalu apabila ia menggesa pilihan raya di tengah-tengah kemelut harga barang yang melambung tinggi.

“Najib dan Zahid beranggapan orang ramai mudah tertipu dan tidak akan melihat bahawa mereka mendesak ini untuk menyelamatkan diri.

"Mereka lupa kejayaan pilihan raya negeri sebelum ini di Melaka dan Johor adalah kerana kelemahan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya disebabkan peningkatan sokongan yang wujud kepada Umno," katanya.

Rafizi mendakwa jika pilihan raya umum diadakan tahun ini dan PH boleh membetulkan naratifnya serta kembali memperjuangkan pembaharuan yang mampan, gabungan itu hanya memerlukan lima peratus pengundi atas pagar dan peningkatan jumlah keluar mengundi kira-kira 10 peratus dalam kalangan penyokong terasnya untuk menang.

“Dari perspektif itu, saya teruja jika Umno terus mengikut laluan ini kerana ia meningkatkan peluang pilihan raya kita, dengan syarat PH membina naratif yang padu dan dekat dengan rakyat dengan cepat.

“Keadaan makroekonomi dan persepsi toksik yang berterusan terhadap Umno (seperti yang diakui oleh timbalan presidennya sendiri) memihak kepada PH.

"Itulah sebabnya saya lantang menentang strategi 'khemah besar' kerana ia mengalihkan perhatian daripada tugas paling penting - membangunkan naratif yang membina semula kepercayaan dan berharap untuk tadbir urus yang lebih baik," tambahnya.

Rafizi berkata Umno kalah dalam pilihan raya umum lalu kerana ia tidak menyentuh sentimen orang ramai di bawah.

“Mendesak pilihan raya awal menunjukkan ia masih tidak dapat mendekatkan diri dengan rakyat. Adalah menjadi kewajipan bagi PH untuk mengambil peluang ini untuk mendekati semula pengundi.

"Masa mungkin singkat, tetapi ia masih boleh dilakukan," tambahnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS