'Pekerja dinafi gaji minimum RM1,500 perlu cetus gelombang'
Presiden parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pekerja yang dinafikan gaji minimum RM1, 500 supaya bertindak memperjuangkan hak mereka.
Tegasnya, mereka mesti mengemukakan aduan kepada Kementerian Sumber Manusia dan menuntut hak mereka.
"Ini hak kamu, kamu kena tuntut hak kamu, kalau kamu tak berani ramai juga tak berani.
"Sebab itu kena ada gelombang (buat aduan)," katanya katanya dalam rakaman video yang di muat naik di media sosial di Muar, Johor.
Gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei.
Bagaimanapun, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendakwa ramai pembersih kontrak dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan masih belum menerima gaji minimum RM1,500.
Mereka berkata majikan memberi alasan antaranya kontrak antara mereka dan kerajaan masih lagi berdasarkan gaji minimum lama.
Syed Saddiq berkata pekerja yang mengadu kepadanya juga diberikan alasan sama oleh majikan mereka.
Majikan lain, katanya, mendakwa mereka tidak perlu mengikut arahan kerajaan.
Pada masa ini, hanya perusahaan mikro dengan perolehan jualan tahunan di bawah RM300,000 dan menggaji tidak lebih daripada lima pekerja sepenuh masa dikecualikan daripada gaji minimum baharu.
Selain pekerja yang membuat aduan, Syed Saddiq berkata kerajaan juga perlu proaktif untuk menyesuaikan kontrak dengan syarikat yang diambilnya untuk perkhidmatan keselamatan dan pembersihan, selaras pelaksanaan gaji minimum baru.
Buat majikan, Ahli Parlimen Muar itu memberi amaran bahawa kenaikan gaji minimum tidak boleh diimbangi dengan pemotongan elaun.
Katanya, syarikat juga tidak mempunyai sebab untuk mengimbangi kos dengan memecat pekerja, terutama mereka yang telah lama dilatih.
Syed Saddiq berkata dia yakin gaji yang lebih baik akan membawa kepada produktiviti yang lebih baik.
Tambahnya lagi, secara keseluruhannya, nisbah gaji kepada KDNK Malaysia berada pada 20-25 peratus, atau 20-25 sen setiap RM1, berbanding 40-45 peratus di negara maju.

