Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes hina nabi di India: Pejuang desak tindakan diplomatik Malaysia
Diterbitkan:  Jun 7, 2022 2:05 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Pergerakan pemuda Parti Pejuang Tanah Air mendesak Wisma Putra dan kerajaan Malaysia menggerakkan tindakan diplomatik dalam kes seorang pemimpin parti pemerintah India yang menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

“Ketiadaan sebarang respon rasmi dan segera dari kerajaan Malaysia setelah beberapa hari isu ini meletus di peringkat antarabangsa adalah sangat mendukacitakan dan memalukan,” kata Ketua Pejuang Muda Abu Hafiz Salleh Hudin.

Dia mengingatkan bahawa Qatar, Kuwait dan Iran  telah menerbitkan nota bantahan diplomasi dan memanggil duta India untuk mendapatkan penjelasan.

Dalam kenyataan hari ini, Abu Hafiz berkata mereka mengutuk keras kenyataan Nupur Sharma dalam wawancara televisyen serta sokongan Naveen Kumar Jindal, pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) Delhi terhadap penghinaan itu.

Sharma (atas) dan JIndal telah memohon maaf secara terbuka. BJP juga menggantung keanggotaan mereka.

Sementara itu, Abu Hafiz berkata kontroversi itu boleh dijangka kerana “Perdana Menteri Narendra Modi terkenal dengan beberapa polisi dan kenyataan berterusan yang dilihat sangat anti-Islam”.

Katanya, sungguhpun tindakan terhadap kedua-dua individu itu telah diambil, ia masih belum memuaskan hati banyak negara Islam kerana tidak bersifat punitif dan mencukupi. 

Kerajaan India kini berusaha untuk meredakan kemarahan dalam dan luar negara yang mendorong tunjuk perasaan dan rusuhan di pelbagai tempat.

Setakat ini, Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 38 orang ditangkap–sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan.

Lihat Komen
ADS