Polis Kelantan mengesan seorang pemuda yang juga saksi bagi membantu siasatan kes wanita hamil yang ditemukan maut dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta dalam kejadian Kampung Repek, Pasir Mas, di Kelantan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, suspek yang dikenali sebagai Aimay berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Pak Jak, Pasir Mas.
Sehubungan itu, jelasnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk membuat laporan di balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Asistan Superintenden Nor Mazura Yaacob di talian 013-9405819.
"Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam membantu mencari suspek bagi menyelesaikan kes dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Terdahulu media melaporkan mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, ditemukan maut dalam kereta dengan kesan tembakan.
Mangsa meninggalkan tiga cahaya mata berusia antara tiga sehingga 10 tahun.
Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas pada Ahad lalu.
