Pengundian bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam di Raub akan ditangguhkan jika keadaan banjir bertambah buruk dan meliputi keseluruhan daerah Raub, kata Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Bagaimanapun, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, pihaknya menjangka keadaan banjir sekarang tidak meruncing dan menjejaskan pilihanraya kecil itu pada 28 Januari depan.

Setakat ini, katanya, tiada tanda-tanda banjir itu akan mengganggu pusat pengundian atau perjalanan pilihanraya kecil tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

"Setakat ini pusat-pusat pengundian yang ditetapkan tidak terlibat (dengan banjir)," katanya.

Pilihanraya kecil Batu Talam itu adalah pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Mat Kiram, 47, dengan calon Bebas, Ng Chee Pang, 22, ekoran kematian penyandangnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu akibat barah.

Kamaruzaman berkata, jika ada pusat pengundian tertentu tidak boleh digunakan kerana banjir, maka pusat pengundian yang baru akan disedia serta diwartakan.

Menurutnya, terdapat banyak sekolah di kawasan itu yang boleh dijadikan pusat pengundian jika berlaku banjir.

Sejumlah 11 sekolah dan sebuah balairaya telah diwartakan sebagai pusat pengundian untuk pilihanraya kecil itu.

Jalan ditutup

Menjawab satu soalan, Kamaruzaman juga berkata SPR tidak bertanggungjawab untuk menguruskan pemilih untuk ke pusat pengundian jika berlaku banjir.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengerahkan jentera BN supaya memastikan pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka sekiranya banjir yang mula melanda Raub hingga ke pengundian.

Menurut Bernama, keadaan banjir semakin serius di Pahang dan sehingga malam tadi,

516 mangsa dipindahkan di daerah Raub, 92 (Kuala Lipis) dan 64 (Rompin), melibatkan 17 pusat pemindahan sementara.

Tiga jalan ditutup di Raub iaitu Jalan Tersang, Jalan Kuala Dong dan Jalan Chenua, manakala di Rompin jalan yang ditutup ialah Jalan ke Kampung Aur-Bukit Ibam, Jalan Kampung Jaban dan Jalan Kampung Ganuh.

"Jalan lama Karak Setia juga ditutup kepada kenderaan kerana terdapat tanah runtuh kecil," kata jurucakap itu ketika dihubungi