Sekumpulan pemilik rumah yang memiliki unit di sebuah kondominium di Ampang menyuarakan kekesalan berhubung serbuan jabatan imigresen pada 3 Jun lalu, yang mereka percaya berpunca daripada pihak pengurusan kondominium berkenaan.

Tanpa menamakan kondominum terbabit, mereka mengecam serbuan yang dilakukan terhadap pelarian yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)

Menurut mereka, pihak pengurusan kondominum itu baru-baru ini cuba menghalang mereka daripada menyewakan rumah kepada pelarian berkenaan.

“Kami, sekumpulan pemilik yang prihatin, berasa marah dengan kejadian yang berlaku pada lewat petang 3 Jun hingga awal 4 Jun.

“Dalam tempoh itu, penyewa kami, yang merupakan pelarian yang berdaftar dengan UNHCR Malaysia, telah diserbu oleh imigresen, yang kami rasa sangat tidak sesuai dan tak wajar dilakukan.

"Memandangkan ini adalah hak milik persendirian, kami percaya ini tak akan berlaku tanpa pengetahuan Badan Pengurusan Bersama (JMB), yang baru-baru ini cuba menguatkuasakan larangan agar kami tidak menyewakan unit kami kepada pelarian," kata pemilik rumah berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Mereka mendakwa serbuan pihak imigresen tersebut adalah cubaan untuk terus menakutkan dan mengganggu penyewa yang merupakan kumpulan pelarian.

“Ramai penyewa kami yang ditahan semasa operasi ini, termasuk wanita dan kanak-kanak seawal usia, kemudian dibebaskan tanpa sebarang syarat oleh pihak imigresen pada awal pagi 4 Jun 2022 selepas pengesahan UNHCR.

“Ini amat dahsyat dan tidak sepatutnya berlaku. Kami mengutuk sekeras-kerasnya ancaman, ugutan, dan keputusan JMB untuk mengusir penyewa pelarian dari kondominium kami," kata pemilik rumah terbabit.

Mereka menambah pada 21 Mac lalu, penyewa mereka telah diberi notis oleh JMB untuk mengosongkan rumah sewa mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun.

"Penyewa kami bukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seperti yang dilaporkan dalam media tetapi merupakan pelarian. Mereka kebanyakannya dari Afghanistan dan termasuk individu dan keluarga yang mempunyai anak kecil yang melarikan diri dari peperangan dan penindasan oleh rejim Taliban.

"Seperti yang telah dilaporkan dalam media, keadaan di Afghanistan sangat teruk dengan ramai yang menghadapi ancaman terhadap kehidupan mereka, dan wanita serta gadis dinafikan mendapat pendidikan dan sebarang harapan untuk masa depan. Akibatnya, keluarga dan individu ini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa meninggalkan rumah mereka, dan mencari keselamatan di Malaysia," kata pemilik rumah terbabit.

Mengulas serbuan minggu lepas, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, seramai 205 pendatang dari Afghanistan, Libya dan India berusia antara enam bulan hingga 68 tahun telah diperiksa.

“Operasi malam ini melibatkan seramai 31 orang pegawai Imigresen dan seramai 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak diperiksa melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Dia berkata kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa adalah pemegang kad UNHCR yang telah berlindung di negara ini berikutan konflik di negara mereka.