Dadah bawa tiga sahabat ke tali gantung
Tiga sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 134.6 gram pada Mac 2018.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhi hukuman itu selepas peguam ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nazri Mohamed, 38, Mat Zainudin Mansor, 38 dan Ismail Jusoh, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Dalam penghakimannya Wan Ahmad Farid berkata, ketika serbuan pihak polis dilakukan, kesemua tertuduh berada di wakaf dan bertindak melarikan diri.
Katanya, alasan yang diberikan tertuduh iaitu baru sampai di lokasi selain tidak tahu berkaitan barang kes tidak boleh diterima.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman ini selepas mendapati keterangan kesemua tertuduh tidak boleh dipercayai," katanya dalam prosiding tersebut
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 134.6 gram jenis methamphetamine.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.30 petang di sebuah wakaf di tepi jalan kawasan sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah pada 21 Mac 2018.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Aka Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab dan kesemua tertuduh diwakili peguam bela.
Selain itu kesemua tertuduh juga turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan memiliki racun iaitu 9.2 gram caffiene pada Mac 2018.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 32(2) akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, mengikut pertuduhan pindaan pula ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan Ismail memiliki 0.30 gram, Mat Zainuddin memiliki 0.19 gram dan Mohd Nazri 0.20 gram dadah jenis methamphetamine.
Kesemua mereka melakukan kesalahan di kawasan sawah padi Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah itu jam 1.15 petang pada 21 Mac 2018.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) akta yang sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan.

