'Jadi siapa sebenarnya bayar RM30.5 juta untuk kontrak lampu jalan?'
Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan penganugerahan kontrak bernilai RM30.75 juta kepada Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) bagi kerja-kerja penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang menimbulkan lebih banyak persoalan, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
“Kenyataan DBKL seperti yang dilaporkan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapannya. Siapa sebenarnya yang membayar RM30.75 juta untuk kontrak 200 lampu jalan?
“Adakah DBKL menafikan bahawa terdapat kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM30.75 juta untuk penggantian 200 tiang lampu di Lembah Klang?
“Sanggupkah DBKL dan Suruhanjaya Sekuriti akan meminta SCIB, sebuah syarikat tersenarai awam, untuk mendapatkan penjelasan?” tanya Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Lim menggesa kerajaan menjelaskan perkara itu dan mempersoalkan adakah wajar kontrak itu dinilai begitu tinggi untuk hanya 200 unit tiang lampu.
Dia juga meminta penjelasan daripada DBKL sama ada kontrak itu diberikan melalui tender terbuka atau sebaliknya.
Terdahulu, DBKL hari ini menafikan laporan media bahawa pihaknya telah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya untuk menjalankan apa-apa kerja untuk majlis bandaraya itu.
Isu itu tercetus selepas laporan yang mendakwa SCIB, melalui anak syarikatnya SCIB Properties Sdn Bhd, telah menerima surat pelantikan untuk kontrak EPCC bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd bagi kerja penggantian unit tiang lampu di Lembah Klang untuk DBKL .
Awal minggu ini dilaporkan bahawa penggantian tiang lampu pintar DBKL dijangka bermula bulan ini sehingga Mei 2023.
Dalam kenyataannya, DBKL memaklumkan pembinaan tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G.
Menurutnya, 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) sejak tahun 2013 telah dilantik bagi melaksanakan penggantian tiang lampu tersebut di sekitar Kuala Lumpur
Bagaimanapun majlis bandaraya itu memaklumkan tidak pernah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya bagi kerja berkenaan.

