Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal saran Zafrul jadi 'poster boy' BN Selangor
Diterbitkan:  Jun 13, 2022 4:18 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Umno Selangor dicadang supaya mengangkat Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai "poster boy" parti itu di Selangor jika keputusan berkenaan boleh diterima Noh Omar yang juga Pengerusi Umno negeri.

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos berkata Umno memerlukan pemimpin muda berkaliber untuk dipertaruhkan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Umno amat memerlukan lebih ramai pemimpin muda, berkaliber dan diyakini rakyat yang mampu menawarkan perubahan luar biasa di Selangor, lebih-lebih lagi dalam kalangan menteri Kabinet di peringkat kerajaan persekutuan.

"Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara nama pemimpin yang disebut-sebut malah sudah pun turun padang beberapa kali menyantuni rakyat di Kuala Selangor.

"Jika kehadiran anak kelahiran Kuala Selangor itu boleh diterima baik oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Noh, apa salahnya jika Tengku Zafrul boleh dinamakan sebagai poster boy BN Selangor pada PRU15 akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Umno Sungai Besar sedia "membuka jalan" kepada Tengku Zafrul untuk aktif bersama Umno bahagian itu jika berhasrat untuk bertanding atas tiket parti itu dalam PRU15.

Jamal bagaimanapun berkata ia tidak bermakna Tengku Zafrul akan menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Sungai Besar memandangkan ia hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya mengalu-alukan Tengku Zafrul untuk bertapak di Selangor. Kalau bahagian lama tak mahu Tengku Zafrul, Umno Sungai Besar sedia terima.

"Soal calon itu diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, saya hanya membuka ruang untuk dia bergerak aktif bagi membantu Umno Selangor dan membolehkan dia bertanding di mana-mana kerusi di Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu Jamal berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini membuktikan calon muka baru, segar dan bebas kontroversi mendapat tempat di hati pengundi.

"Kejayaan BN dalam PRN di Melaka dan Johor tahun lepas membuktikan calon baru, segar dan bebas daripada kontroversi menjadi pilihan pengundi.

"Formula sama boleh diguna pakai PRU15 dengan mengetengahkan calon muda, baharu dan sesuai dengan kehendak semasa.

"Permintaan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini yang mula kembali memberi kepercayaan kepada BN yang menawarkan manifesto mampu dilaksanakan, iaitu kestabilan politik dalam pentadbiran kerajaan," katanya lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS