Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah menggerakkan jenteranya di seluruh negeri itu sebagai persediaan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menuntut ketelusan dalam pengendalian perjanjian konsesi tol.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Ezam Mohd Nor berkata, perhimpunan besar-besaran itu akan diadakan untuk membantah kenaikan kadar tol dan tindakan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya menjadikan Malaysia negara polis dalam menangani kebangkitan suara rakyat.

Sehubungan, katanya, PKR Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menyerang, memukul dan mencederakan rakyat yang berhimpun secara aman untuk membantah kenaikan kadar tol di Batu 11, Cheras Ahad lalu.

"Tindakan ganas ini sama sekali tidak perlu dan melampau ketika rakyat hanya sekadar melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan untuk berhimpun secara aman mempertahankan hak mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Para peserta perhimpunan itu, tegasnya, tidak melakukan sebarang kekacauan dan ia sama sekali tidak menghalang lalulintas.

"Sebahagian besar peserta perhimpunan ialah penduduk tempatan dari Taman Mahkota, Cheras yang tidak mempunyai jalan alternatif keluar daripada kawasan perumahan mereka, selain melalui lebuhraya dan terpaksa membayar tol," katanya.

Bertindak ganas

Ezam mendakwa, langkah Barisan Nasional memperalatkan polis untuk bertindak ganas sedemikian tidak akan melemahkan semangat rakyat untuk berjuang mempertahankan hak mereka.

Sehubungan itu, katanya, PKR Selangor menyatakan komitmen penuh untuk memberi sokongan padu dan kerjasama kepada Gabungan Protes Kenaikan Tol (Protes) dalam usaha mereka.

Ahad lalu, polis menahan 21 orang yang hadir untuk menyertai protes membantah kenaikan kadar tol di Cheras, termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua; pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan pemimpin DAP, leader Ronnie Liu.

Demonstrasi di Cheras hari ini dianjurkan oleh Protes, iaitu gabungan parti politik, badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja. Dr Hatta adalah setiausaha Protes.

Protes di Cheras Ahad lalu merupakan yang ketiga dianjurka oleh Protes sebagai membantah kenaikan kadr tol di lima lebuhraya di Kajang mulai 1 Januari lalu.

Dalam dua protes sebelum ini yang pertama di plaza tol bandar Sunway di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dua minggu lalu dan yang kedua di Gombak minggu lalu polis hanya mengawal perhimpunan itu yang berjalan secara aman.