'SPRM perlu prosedur lebih sistematik simpan barang kes'
Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara menyeru SPRM untuk menghasilkan prosedur dan tatacara bagi pengendalian dan penyimpanan barang kes yang lebih sistematik dan berpusat.
Ini bagi mengelak barang kes hilang seperti yang berlaku dalam kes rasuah yang melibatkan bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid di mana wang tunai RM25 juta telah didakwa diselewengkan.
"Gesaan ini dibuat bagi memastikan SPRM dapat meningkatkan kredibiliti sebagai sebuah agensi penguatkuasaan antirasuah yang lebih dihormati di negara ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Speaker Dewan Negara Rais Yatim malam ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut hadir pada mesyuarat TIA hari ini bagi menjelaskan isu berkaitan rasuah serta inisiatif antirasuah terbaru oleh suruhanjaya itu.
"Semua ahli jawatankuasa berpuas hati dengan tugas-tugas pendakwaan dan penyiasatan yang telah dijalankan,” kata kenyataan itu.
TIA juga berkata SPRM perlu diletakkan di bawah seliaan Parlimen, terutamanya dari segi penggubalan dasar dan memperhalusi nilai-nilai agensi antirasuah.
"Cadangan ini adalah salah satu daripada strategi Transformasi Parlimen yang telah diluluskan oleh kabinet bulan lepas,” kata kenyataan itu.
TIA juga mencadangkan supaya Mahkamah Khas Pencegahan Rasuah dibentuk di semua peringkat daripada Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Rayuan bagi mempercepatkan penyelesaian kes rasuah yang semakin meningkat.
Kekurangan pegawai di SPRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan juga menjadi isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat hari ini, yang berlangsung lebih dua jam.
Sehubungan itu, TIA telah memutuskan untuk menjemput Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah pada pertengahan Julai untuk membincangkan perkara ini.
Sementara itu, pejabat Rais berkata Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa antirasuah bersama, yang diharapkan akan meningkatkan lagi sistem pemantauan ke atas agensi antirasuah di Malaysia.

