Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, keluarga naik MRT laluan Putrajaya sebelum pelancaran esok
Diterbitkan:  Jun 15, 2022 6:16 PM
Dikemaskini: Jun 16, 2022 10:48 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa ahli keluarganya telah diberikan peluang menguji fasa pertama MRT laluan Putrajaya yang sepanjang 17.5 km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu.

Peluang menaiki tren itu dibuat sehari sebelum Perdana Menteri Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan merasmikannya pagi esok.

Orang ramai kemudian akan dibenarkan menaiki tren itu pada jam 3 petang pada hari yang sama.

MRT laluan Putrajaya fasa satu itu meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen merupakan lanjutan daripada MRT laluan Kajang.

Sembilan stesen baharu yang akan dibuka adalah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum in merupakan sebahagian daripada MRT laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.

Tiga belas laluan bas baru juga akan mula beroperasi dengan perkhidmatan MRT baru itu. Tujuh daripada stesen MRT tersebut juga menawarkan kemudahan tempat letak kereta untuk lebih 2,800 kereta.

Operasi tren secara automatik tanpa pemandu itu melibatkan 20 set tren dengan empat gerabak setiap set dan mempunyai kapasiti membawa seramai 1,200 penumpang.

Najib, yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah, berkongsi video di media sosial memaparkan dirinya bersama anak perempuannya Nooryana Najwa Najib dan seorang cucunya mencuba perkhidmatan tersebut.

Lihat Komen
ADS