Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi kempen PRU15 mulai 1 Julai, sasar rekrut 30,000 sukarelawan
Diterbitkan:  Jun 20, 2022 3:13 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Menjangkakan Parlimen akan dibubarkan seawal Ogos atau September ini, bakal timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan mula berkempen secara tersusun pada setiap minggu bermula 1 Julai ini, bagi persediaan berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, ia akan dilakukan melalui platform Ayuh Malaysia, dengan menumpukan menarik keyakinan pengundi dengan kerjasama sukarelawan yang terdiri daripada orang ramai.

“Saya akan mula berkempen secara tersusun setiap minggu bermula 1 Julai 2022 sebagai persediaan menghadapi PRU15.

“Jangkaan saya ialah Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kumpulan pengundi yang menjadi keutamaan kempennya itu merupakan pengundi tegar PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang perlu dipertahankan, pengundi atas pagar yang akan mengundi di kerusi-kerusi utama dan pengundi kali pertama yang terdiri daripada kalangan bawah 25 tahun serta yang tidak pernah mengundi.

“Walaupun keadaan telah banyak berubah, saya percaya kesungguhan kita mendekati rakyat akan dapat memenuhi sasaran kempen untuk meningkatkan kadar keluar mengundi serta menarik minat pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama,” katanya.

“Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

“Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Julai 2022 dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur,” katanya.

Dia mensasarkan seramai 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk membantu kempen PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal, di mana bekas ahli parlimen Pandan itu menjelaskan tugasan dan latihan yang tertentu akan diberikan kepada sukarelawan tersebut.

“Kandungan utama siaran kempen Ayuh Malaysia akan tertumpu kepada kupasan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang termasuk lima teras kempen Ayuh Malaysia yang telah diumumkan sebelum ini.

“Saya akan mengumumkan jadual kempen mengikut bandar dan kerusi-kerusi Parlimen minggu ini,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat boleh mula mendaftar minggu ini dan butiran pendaftaran akan diberikan di laman www.ayuhmalaysia.org.

Pada masa sama, kempen itu juga akan mengadakan satu majlis kutipan dana pada hari yang sama, Sabtu 2 Julai 2022 bermula jam 8 malam bertempat di SJKC Chung Kwo, Kuala Lumpur, di mana tiket-tiket boleh mula dibeli minggu ini secara atas talian di laman yang sama.

“Majlis kutipan dana itu adalah untuk melancarkan Tabung Trak bagi membiayai perbelanjaan menyediakan sebuah trak kempen untuk dibawa ke seluruh negara, seperti mana saya pernah berkempen di atas trak selama dua tahun sebelum PRU14 yang lalu,” katanya.

Meskipun tidak memaklumkan tarikh sebenar PRU, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam tidak menolak kemungkinan PRU15 diadakan sebelum Julai 2023.

Dia yang juga naib presiden Umno berkata pilihan raya paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.

Lihat Komen
ADS