Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Willie pula cari 'tapak baru' di luar Bersatu
Diterbitkan:  Jun 20, 2022 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Seorang lagi ahli parlimen Bersatu - yang asalnya dari PKR - dilaporkan memilih untuk berada dalam 'bahtera' baru atas alasan dia berada dalam parti baru itu "secara teknikal" saja.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin juga berkata dia membuat permohonan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) beberapa bulan lalu.

Dipetik Borneo Post di satu majlis di Kuching, Sarawak hari ini, Willie dilaporkan berkata dia sebenarnya tidak menyertai mana-mana parti selepas meninggalkan PKR pada Feb 2020.

“Betul, saya sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.

“Untuk rekod, apabila kerajaan bertukar (apabila Pakatan Harapan dijatuhkan), saya tidak menyertai mana-mana parti, tapi saya tidak menafikan saya diletakkan untuk menyokong kerajaan dan mereka secara teknikal meletakkan saya di bawah Bersatu.

"Ini dilakukan supaya saya boleh mencukupkan jumlah untuk menyokong kerajaan hari ini," katanya.

Berdasarkan semakan laman sesawang parlimen, Willie adalah gabungan parti kerajaan dan disenaraikan sebagai mewakili Bersatu.

Sebelum ini bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin terlebih awal mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu.

Zuraida merupakan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, manakala Willie merupakan seorang daripada dua timbalannya. Seorang lagi timbalan Zuraida ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng dari MCA.

Selepas menyertai Bersatu Zuraida dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu namun Willie tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Willie dan Zuraida adalah antara 10 ahli parlimen yang berpaling tadah pada Feb 2020 yang membawa kejatuhan PH di sebalik mandat yang diterima gabungan terbabit dalam PRU ke-14 lalu.

Sambil menegaskan tetap menyokong kerajaan semasa di peringkat persekutuan dan Sarawak, Willie berkata dia ingin terus berkhidmat kepada orang ramai.

“Saya harap ini akan berterusan dan saya percaya kita boleh bekerjasama di atas landasan politik yang sama untuk memastikan kestabilan bukan sahaja kerajaan persekutuan tetapi juga kerajaan negeri.

“Hanya dengan kerajaan yang stabil, negeri dan negara boleh terus maju,” katanya.

Dalam PRU 2018, Willie merampas kerusi Puncak Borneo daripada calon PBB, James Dawos Mamit.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS