Gaduh di lobi mahkamah: Polis terima laporan jurugambar, peguam
Polis Shah Alam mengesahkan menerima laporan masing-masing daripada seorang jurugambar dan peguam, susulan pergaduhan yang berlaku di lobi bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata hasil siasatan awal polis mendapati pergaduhan tersebut melibatkan seorang jurugambar sambilan sebuah akhbar tempatan berumur 34 tahun, dengan seorang peguam yang berumur 50 tahun.
“Kejadian berpunca apabila keadaan sesak berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa pasukan peguam sedang menuju ke kamar mahkamah, manakala petugas media sedang membuat liputan bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan,” katanya.
Menurut Mohd Iqbal kedua-dua lelaki terbabit mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam dengan jurugambar berkenaan mengalami luka calar di leher dan lengan, manakala peguam luka di dahi.
Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut, boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes berkenaan, Insp Muhamad Ridzuan Ibrahim di talian 013-3050856.
Terdahulu media melaporkan, kekecohan dan pertengkaran berlaku di pekarangan kompleks mahkamah berkenaan pagi semalam melibatkan seorang peguam mewakili suspek pembunuhan Nazrin, Samirah Muzaffar dan seorang jurugambar.
- Bernama

