mk-logo
Berita

BICARA 1MDB l Bekas Menteri Kewangan II, Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bahawa dirinya akan bimbang dengan pengalihan dana 1MDB sebanyak AS$700 juta jika dia adalah pemimpin tertinggi negara.

Menurut saksi pendakwaan ke-20 itu ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, sebagai perdana menteri ketika itu yang juga pemimpin tertinggi negara selain mempunyai kuasa melantik dan memecat pengarah firma pelaburan strategik negara itu, Najib Razak boleh menghubungi pengurusan 1MDB dan mula bertindak.

Husni berkata demikian semasa perbicaraan rasuah membabitkan RM2.28 bilion milik 1MDB petang ini terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak.

Saksi itu mendakwa tertuduh tidak menjawab mengenai kebimbangannya mengenai pengalihan dana yang dimaksudkan untuk usaha sama antara 1MDB dengan Petrosaudi International Limited (PSI) itu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa AS$700 juta telah dipindahkan kepada Good Star Limited, sebuah entiti yang didakwa ditubuhkan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Pendakwa raya juga berhujah bahawa Low bertindak atas restu Najib.

Bagaimanapun, peguam pembelaan mendakwa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan tentang salah laku tersebut dan penyelewengan itu dilakukan oleh Low serta beberapa ahli pengurusan 1MDB semata-mata.

Semasa pemeriksaan balas, hari ini, Husni mendakwa Najib tidak berbuat apa-apa apabila dia membangkitkan kebimbangannya kepada perdana menteri itu.

Bagaimanapun, peguamnya membantah dengan mendakwa bahawa perdana menteri pun tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk mengambil tindakan tanpa melalui lembaga pengarah 1MDB.

Dalam suara yang tinggi, Shafee mendakwa lembaga penasihat 1MDB yang dipengerusikan Najib tidak boleh bertindak melainkan lembaga itu secara khusus meminta nasihatnya.

Husni membalas dengan berkata bahawa Najib tidak pernah bimbang tentang pengalihan dana tersebut dan memandangkan dia ketika itu adalah perdana menteri, dirinya boleh bertindak dan memastikan mereka yang terlibat dalam penyelewengan itu dipecat.

"Dia (Najib) hanya berkata, bahawa Good Star akan membuat pembayaran kepada PetroSaudi.

“Dia sepatutnya bertindak secepat mungkin, tetapi tidak berbuat apa-apa. Jika saya seorang perdana menteri, sudah tentu saya akan bertindak kerana ia akan menjejaskan kewangan negara,” kata saksi itu.

Shafee: Adakah kamu sedar bahawa lembaga pengarah (1MDB) menuntut jawapan dan pengurusan di bawah Shahrol (Azral Ibrahim Halmi, Ketua Pegawai Eksekutif dana ketika itu) menjawab bahawa wang tersebut telah dibayar kepada Petrosaudi. Itu yang mereka (pihak pengurusan) beritahu lembaga pengarah.

Husni: Jika saya seorang perdana menteri, sudah tentu saya akan bertindak kerana ia akan menjejaskan kewangan negara.

Dengan suara lantang, Shafee menegaskan Husni menghina perdana menteri (Najib), namun itu saksi menafikannya.

"Saya bukan menghina perdana menteri. Saya bercakap melalui perspektif saya, ini mengenai mereka (1MDB) pinjam duit yang dijamin oleh kerajaan," katanya.

Semasa prosiding sebelum ini di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Husni memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya supaya tidak campur tangan dalam urusan 1MDB.

Husni adalah menteri kewangan II dari 2009 hingga 2016.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Prosiding di hadapan hakim Sequerah akan bersambung esok, dengan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram dijangka menjalankan pemeriksaan semula terhadap Husni.

Lihat Komen
ADS