Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makanan meloyakan, beli sabun RM100 untuk panggilan telefon

Setelah dihantar pulang ke China, Guo melihat dirinya di hadapan cermin buat kali pertama selepas lebih lapan bulan.

Pada masa itu dia sedang menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah hotel di Xiamen.

Warga China itu yang sebelum itu ditahan di pusat tahanan imigresen di Malaysia terkejut melihat keadaan dirinya yang kurus dan tak bermaya.

"Saya kelihatan seperti hantu," kata Guo.

Guo, yang nama sebenarnya dirahsiakan untuk melindungi identitinya, mengimbas kembali bagaimana isterinya menangis semasa mereka membuat panggilan video.

Apabila ibu bapanya membuat panggilan video, dia enggan menjawab kerana tidak mahu mereka berasa sedih melihat keadaan dirinya seperti itu.

Guo adalah individu terakhir dalam kalangan lima buruh China yang dihantar pulang. Ini kerana dia disahkan positif Covid-19 pada Mac tahun ini dan penerbangan ke China pada waktu itu masih digantung.

Apabila kembali ke China pada Mei, Guo memberitahu Malaysiakini bahawa berat badannya turun kepada 50kg dan mengalami kekurangan zat makanan.

Dia mendakwa makanan di pusat tahanan itu "sangat tidak bersih" dan untuk mengelakkan dirinya daripada jatuh sakit, dia makan nasi kosong dengan garam dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum dihantar pulang.

“Nasi selalunya dihidangkan bersama ikan kecil. Tetapi sisik dan bahagian dalam tidak dibuang. Semua orang kata mereka mengalami bengkak dan kegatalan selepas makan ikan tersebut. Jadi, saya mengelak.

“Rakan-rakan saya juga beritahu saya supaya berhati-hati dengan makanan kerana ia sudah basi dan tidak bersih. Jadi, saya hanya makan nasi untuk memastikan saya boleh pulang secepat mungkin,” katanya.

Menurut Guo, tahanan diberikan makanan empat kali antara 7 pagi dan 6 petang, termasuk makanan ringan seperti roti dan biskut.

Warga China itu, yang ditahan bersama empat yang lain ketika cuba menyelinap masuk ke Malaysia tahun lepas, berkata dia mendapat makanan yang lebih baik di lokap sebelum dipindahkan ke depot imigresen Pekan Nanas.

"Di lokap, makanan lebih sihat walaupun dalam kuantiti kecil. Di kem tahanan, jumlah nasi bertambah tetapi (kualiti makanan) merosot," tambahnya.

‘Beli sabun RM100, dapat panggilan percuma’

Berdasarkan data 2019, kerajaan membelanjakan hampir RM3.5 juta sebulan - atau purata RM12 sehari - untuk makanan bagi setiap tahanan.

Pada Julai 2020, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said mendedahkan bahawa kerajaan memperuntukkan sehingga RM90 sehari untuk pendatang tanpa izin yang ditempatkan di depot tahanan Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, Guo dan seorang lagi rakannya Wei mendakwa lima daripada mereka terpaksa mengeluarkan kira-kira RM10,000 semasa dalam tahanan untuk membuat panggilan telefon dan mendapatkan keperluan asas.

Wei mendakwa ketika mula ditahan, mereka perlu membayar RM100 untuk membuat panggilan telefon selama 10 minit kepada keluarga mereka di China.

Tahanan kemudiannya mengetahui panggilan telefon akan diberi percuma jika mereka membeli barangan yang terdiri daripada sabun hinggalah kepada mi segera.

Barang-barang ini, bagaimanapun, dijual jauh lebih mahal.

“Ada empat bangunan untuk tahanan lelaki. Setiap blok mempunyai 'bos' (pegawai imigresen) yang akan menyerahkan telefonnya kepada 'pengawas', yang seterusnya akan membenarkan tahanan menggunakannya sebagai pertukaran untuk membeli barang," dakwanya.

"Pengawas" berkenaan, menurut warga China itu, juga merupakan tahanan warga asing yang ditugaskan untuk menjalankan tugas untuk pegawai itu.

Ditanya mengenai harga barangan ini, Guo menjawab: "Sangat mahal".

Dia mendakwa mereka berlima membelanjakan RM100 untuk membeli sabun atau sebekas sambal, yang menurut mereka membuatkan makanan lebih sedap.

Bagaimanapun, mereka yang mempunyai wang lebih boleh menikmati hidangan yang lebih menyelerakan. Sebagai contoh, mereka berlima pernah membeli 40 peket mi segera Korea pada harga RM300.

Oleh kerana tiada dapur, mi direndam dalam air supaya lembut dan dimakan bersama nasi.

Dalam beberapa bulan terakhir dia ditahan tanpa rakan-rakannya, Guo berkata dia jarang membeli barang kerana keluarganya meminjam sejumlah besar wang untuk menguruskan kepulangannya.

Dia menceritakan ada sesetengah tahanan sanggup membelanjakan antara RM50 dan RM100 untuk membeli nasi goreng dan burger.

“Saya pernah dengar sehelai tuala boleh berharga antara RM50 dan RM100 sedangkan selimut atau pakaian berharga RM200. Tetapi kami tidak membelinya,” katanya.

“Kadang-kadang apabila tahanan keluar, kami akan mengambil selimut dan pakaian mereka. Ada masanya kami menukar sabun dengan barangan lain,” tambahnya.

Tanpa mengira jumlah yang dibelanjakan, Guo berkata dia tetap bersyukur kerana dapat berkomunikasi dengan keluarganya.

“Walaupun kos RM100 untuk 10 minit, saya tahu apa yang berlaku dengan mereka. Ia juga membantu kami mengetahui mengenai proses penghantaran pulang,” tambahnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS