mk-logo
Berita
Formula Najib supaya k’jaan mampu beri tambahan RM500
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 4:12 AM
Dikemaskini: 4:21 AM
4

KATA MP l Ramai juga yang mengamuk semalam dengan pengumuman pemberian tambahan Bantuan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang cuma sebanyak RM100 bagi keluarga dan RM50 bagi individu.

Tapi sekiranya ia menjadi tambahan RM500 bagi keluarga dan RM250 individu, bagaimana pula?

Pemberian RM100 dan RM50 masing-masing bagi keluarga dan bujang yang diumumkan kerajaan semalam adalah berdasarkan penjimatan daripada pemansuhan subsidi ayam (yang diperkenalkan pada Februari 2022) sebanyak RM720 juta dan subsidi minyak masak botol (yang dilaksanakan sejak Ogos 2021) dengan nilai sebanyak RM240 juta. Maksudnya jumlah penjimatan adalah sekitar RM960 juta bagi menampung pembayaran tambahan RM100 dan RM50 tersebut.

Bagi saya dan ramai lagi, nilai tambahan ini kurang bermakna sebab terlalu kecil.

Sebab itu dalam saranan saya untuk kerajaan adalah supaya menaikkan harga petrol RON95 sehingga 20 sen. Saya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menaikkan cukai eksport (yang dibayar negara asing) dan cukai durian runtuh (yang dibayar oleh kilang minyak sawit) bagi minyak sawit.

Saranan saya semalam:

Dalam saranan saya semalam, saya turut menulis bahawa pemansuhan sepenuhnya subsidi RON95 tidak boleh dibuat ketika inflasi tinggi.

Seperti yang saya katakan, kerajaan tanggung subsidi sekitar RM2.50 liter bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05 pada ketika ini - iaitu subsidi sebanyak RM30 bilion setahun.

Saya juga buat saranan tersebut sebab bahagian besar (65 peratus) daripada orang yang berkemampuan yang sebelum ini isi minyak RON97 telah beralih ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan.

Bagi saya, adalah tidak adil bagi orang kaya dan berkemampuan menikmati subsidi kerajaan - ibarat orang kaya beratur untuk ambil makanan dari food bank.

Kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen satu liter adalah bersamaan dengan penjimatan sekitar 10 peratus daripada RM30 bilion tersebut, iaitu RM3 bilion.

Kenaikan kadar cukai eksport sawit dan cukai durian runtuh turut boleh menjana pendapatan tambahan sekitar RM1.5 bilion.

Jadi,

  • Penjimatan dari subsidi ayam dan telur + minyak masak botol = RM960 juta.

  • Penjimatan dari pengurangan subsidi RON95 dengan kenaikan RON95 = RM3 bilion

  • Pendapatan dari kenaikan cukai eksport dan cukai durian runtuh minyak sawit = RM1.5 bilion.

RM960 juta + RM3b + RM1.5b = RM5.46 bilion

Sekiranya bajet RM960 juta boleh tanggung kenaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi keluarga dan RM50 bagi golongan bujang, berapa a jika peruntukan yang disediakan adalah RM5.46 bilion pula?

Jawapannya ialah penambahan bayaran BKM sebanyak RM570 bagi keluarga dan RM285 bagi bujang. Sudah tentu ini lebih bermakna berbanding RM100 dan RM50. Sebab itu saya membuat saranan tersebut semalam.

Bagi pihak tertentu, khususnya pembangkang dan pengkritik yang asyik suruh saya bayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) sebanyak RM1.7 bilion, adakah kamu perhatikan bahawa Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Dr Mahathir Mahathir tidak pernah menggunakan propaganda ini terhadap saya?

Kenapa ya?

Sebab mereka faham bahawa mereka telah salahgunakan kuasa untuk kenakan saya. Kerana mempergunakan akta LHDN yang kata taksiran LHDN tidak boleh dipertikaikan dan kita perlu bayar dulu bincang kemudian.

Dan jika tidak bayar dulu, maka kerajaan boleh mufliskan kamu.

Malang bagi mereka ialah saya telah menang di peringkat mahkamah persekutuan pada bulan lalu.

"10 Mei 2022: Kes cukai tertunggak: Najib, Nazifuddin dapat kebenaran merayu"

Bermakna mahkamah persekutuan telah ketepikan kuasa "bayar dulu, bincang kemudan" sebab ia tidak adil dan melanggar perlembagaan persekutuan. Maka kami boleh mohon mahkamah untuk suruh LHDN jelaskan bagaimana mereka mengira cukai saya dan bawah undang-undang apa?

Masa itu, kami akan tanya:

  • kenapa pendapatan yang beralir dari luar negara dikenakan cukai sedangkan ia sudah dikecualikan cukai sejak tahun 2004?.

  • kenapa dana RM2.6 bilion yang dihantar pulang kepada penghantar empat bulan selepas menerimanya masih dicukai?

  • kenapa pindahan wang dari satu akaun bank atas nama saya kepada satu lagi akaun bank yang juga atas nama saya boleh pulak dianggap sebagai pendapatan baru dan dikenakan cukai?

  • kenapa semua dana yang dibelanjakan bagi tujuan CSR dan politik yang sebenarnya dikecualikan cukai tidak pula diberi pengecualian bagi saya?

Atas peruntukkan cukai mana yang LHDN masa kerajaan Pakatan Harapan/ Perikatan Nasional kenakan tuntutan cukai RM1.7 bilion yang tak masuk akal itu ke atas saya?

Sekiranya LHDN gagal menjawab dalam mahkamah dan terbukti bahawa berlakunya salah guna kuasa maka saya akan saman pemimpin-pemimpin PH dan PN serta mereka yang terlibat nanti.


NAJIB RAZAK adalah ahli parlimen Pekan dan bekas perdana menteri Malaysia.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di media sosialnya. Ia merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen (4)
ADS